Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecat beliau daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menyalahi  peraturan bertulis yang telah ditetapkan oleh BN.

Katanya, Zahid membuat keputusan tersebut dalam mesyuarat bersama ketua-ketua bahagian UMNO atas kapasiti presiden parti dan bukannya pengerusi BN.

“Pecat saya sekali lagilah, pecat saya semasa mesyuarat BN,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, mengikut peraturan bertulis dan amalan selama ini, pemecatan mesti dilakukan dalam mesyuarat BN oleh pengerusi BN selepas berunding dengan parti-parti komponen BN.

Katanya, tiga parti komponen BN biar pun kecil, namun peranan mereka perlu dihormati dan tidak boleh dipinggirkan apabila sesuatu tindakan mahu diputuskan

“Tiga parti kompoen berhak mencadangkan siapa yang layak menggantikan Setiausaha Agung BN,” katanya sambil merujuk kepada pemecatan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai SUA BN sepuluh bulan lalu kerana pelantikannya dibuat oleh Presiden UMNO.

Mengulas lanjut perihal pemecatannya itu, Annuar berkata, sehingga kini tiada dokumen rasmi dihantar kepadanya sebaliknya beliau hanya menerima pesanan ringkas daripada Datuk Seri Ahmad Maslan yang kini menggalas jawatan SUA BN.

Katanya, dalam pesanan ringkas tersebut Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO itu memaklumkan bahawa beliau tidak meminta jawatan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sebagai orang yang telah lama dalam UMNO beliau tidak melihat pesanan ringkas itu sebagai sesuatu yang perlu dibuat oleh Ahli Parlimen Pontian itu.

Annuar juga memberitahu, beliau kekal bersama UMNO dan tidak ada sebab untuk meninggalkan parti malah tiada sesiapa yang menghalau beliau.

Menyatakan bahawa beliau akan kekal istiqamah dalam parti, Annuar menegaskan bahawa rekod kesetiaanya kepada parti telah terbukti dan apa yang dilakukan sehingga membawa kepada pemecatannya itu adalah perkara-perkara yang telah diputuskan parti.

Beliau berkata, presiden parti juga tidak pernah menegur tindakannya apabila mempersoalkan tentang No Anwar No DAP dan beliau juga keliru tentang pendirian UMNO dalam menangani pelbagai isu yang melibatkan parti.

Annuar berkata, apa yang disuarakan selama ini adalah kerana beliau tidak mahu bersubahat dengan hala tuju parti yang mahu dibawa oleh Zahid.

Katanya, tanpa jawatan SUA BN beliau bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nuraninya.

“Saya redha menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah dan akan terus perjuang menerusi wadah UMNO dan menjadikan UMNO parti yang bermaruah, berintegriti serta kekal memimpin ummah dan menunjangi Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau turut meminta barisan pemimpin Pas supaya berjiwa besar dan tidak berputus asa walaupun dalam pengetahuannya ada kalangan mereka tersinggung dan keliru dengan pucuk pimpinan UMNO. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Wak baik2 wak, jgn wak jd biawak… nanti kena check mate… makin menarik drama mangkuk 2021 ni kalah drama kolea…

Comments are closed.