Akibat banjir yang teruk, seluruh kawasan dinaiki air sehingga menenggelamkan rumah dan tanaman di sekitar Kuala Lipis, Pahang. foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua mangsa banjir menjaga keselamatan diri agar tidak dijangkiti dengan Covid-19.

Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak itu perlu sentiasa dipatuhi walaupun berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau terdahulu menyifatkan tahap pematuhan SOP di PPS yang dilawatnya hari ini di Ulu Dong, Raub Pahang sebagai memuaskan.

“Hari ini saya turut mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Ulu Dong, Raub Pahang.

“Keadaan baik dan tersusun serta segala peraturan dan SOP dipatuhi dengan baik termasuk semua mangsa serta petugas memakai pelitup muka pada setiap masa.

“Saya berharap keadaan di pusat-pusat pemindahan lain juga sama. Pastikan kita bukan sahaja terselamat dari arus deras banjir, namun juga dari jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ke-296 dan PKPP hari ke-212.

Kes positif baharu Covid-19 melonjak naik hari ini sehingga mencatatkan yang tertinggi dalam negara setakat ini iaitu 3,027 kes.

Catatan tertinggi sejak kes pertama Covid-19 disahkan di negara ini Januari lalu menyaksikan sebanyak 3,021 kes merupakan jangkitan tempatan manakala lagi enam kes lagi kes import.-MalaysiaGazette