Mohd Uzir Mahidin
KUALA LUMPUR –  Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa kedua, temuramah secara bersemuka akan bermula secara rasmi mulai 20 Januari 2021 sehingga 6 Februari 2021.
Operasi Banci 2020 di lapangan ini dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard – Operasi Pembancian di  Lapangan Banci 2020 (https://asset.mkn.gov.my/web/wpcontent/uploads/sites/3/2020/09/SOP-
OPERASI-KERJA-LUAR-BANCI-2020-_MKN_17September-2020.pdf) dan tertakluk kepada arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.
Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidn berkata, pelaksanaan fasa kedua ini juga mengambil kira kawasan yang terjejas berikutan bencana banjir, yang mana penyesuaian operasi pembancian akan dilaksanakan bagi memastikan semua penduduk Malaysia dibanci.
Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai 2020 dengan pendekatan banci dalam talian (e-Census) dan kaedah temuramah melalui telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI).
Menurutnya, berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.5 juta atau 26.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci 2020 fasa pertama.
Sementara itu, masih terdapat 320,000 isi rumah yang melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census dan masih belum melengkapkan pengisian e-Census sepenuhnya.
Justeru itu, mereka yang terlibat ini perlulah segera melengkapkan pengisian e-Census masing-masing.
Bagi pelaksanaan Banci 2020 fasa kedua ini, katanya, prapelaksanaan yang melibatkan aktiviti semakan di lapangan dan penyenaraian tempat kediaman di kawasan terpilih termasuk urusan logistik telahpun dimulakan.
Di samping itu, pegawai banci yang berada di lapangan akan juga membantu orang ramai untuk melengkapkan pengisian e-Census dan menyelesaikan bancian kawasan berkenaan.
Pelaksanaan fasa kedua ini akan melibatkan seramai 43,000 pegawai banci yang akan dilantik di seluruh negara.
Menurutnya, permohonan bagi pengisian jawatan sebagai pegawai banci masih dibuka dan orang awam yang berkelayakan dipelawa untuk mengisi jawatan sebagai pegawai banci dengan merujuk kepada Jabatan Perangkaan Negeri yang berdekatan. – MalaysiaGazette