Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin melancarkan Malaysia Grand Challenge (MGC) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan menghabiskan kesemua vaksin Covid-19 sama ada daripada Pfizer atau pun COVAX yang diterimanya selepas suntikan diberikan kepada rakyat di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan akan memastikan dos kedua diberikan kepada orang ramai dalam tempoh 21 hari selepas suntikan pertama.

“Kita ikut garis panduan percubaan klinikal untuk Pfizer dua dos selepas 21 hari diambil, kita akan bagi dos kedua dalam tempoh 21 hari kecuali ada data klinikal yang baharu.

“Semalam, pakar diketuai Dr Kalai dari Kementerian Kesihatan Malaysia menyesyorkan agar kami menerimanya, kalau kita bagi satu dos, kita kena simpan satu dos lagi untuk anda.

“Bila kita dapat (vaksin), kita tak habiskan semua dan tunggu, kalau kita tunggu (penghantaran), mungkin lebih daripada 21 hari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Grand Challange (MGC), di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin menyifatkan tawaran daripada Rusia agak menarik kerana ia bukan sahaja penjualan vaksin bahkan pemindahan teknologi ke negara ini.

“Menariknya tawaran daripada Rusia ini adalah bukan hanya penjualan vaksin, bukan hanya syarikat Pfizer dan COVAX, tetapi mereka juga menawarkan pemindahan R&D dan pelaburan membina kapasiti pembuatan vaksin di sini.

“Kita masih melihat tawaran Russia sebab ia dapat tambah nilai kepada keupayaan farmaseutikal kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette