Tedros Adhanom Ghebreyesus.

GENEVA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan terdapat masalah yang wujud dengan negara berpendapatan rendah dan pertengahan kerana masih belum menerima bekalan vaksin Covid-119.

Oleh itu, beliau mendesak negara-negara untuk menghentikan perjanjian dua hala dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin.

“Negara-negara kaya mempunyai majoriti bekalan.

“Tidak ada negara yang luar biasa dan harus memotong giliran dan memberi vaksin kepada seluruh populasi mereka sementara ada negara lain tidak diberi bekalan vaksin,” kata Tedros Adhanom ketika memberi kenyataan mengenai nasionalisme vaksin di Geneva.

Serentak itu, Tedros meminta negara dan pengilang berhenti membuat perjanjian dua hala dan meminta mereka yang telah memesan dos berlebihan untuk segera menyerahkannya ke kemudahan perkongsian vaksin COVAX.

Walaupun Tedros tidak menyebut nama negara, tetapi Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan telah mencapai kesepakatan dengan Pfizer dan BioNTech untuk mendapatkan 300 juta dos tambahan vaksin Covid-19.

Dengan jumlah itu, EU menerima hampir separuh daripada pengeluaran global syarikat tersebut untuk tahun 2021.

Perebutan untuk mendapatakan vaksin berlaku ketika kebanyakan kerajaan sedang bergelut dengan varian-varian baharu yang dikesan di Britain dan Afrika Selatan, hingga mengancam sistem penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan menekankan keperluan untuk mengutamakan kumpulan rentan dan barisan hadapan, tidak kira di mana mereka tinggal.

“Apakah kita akan membiarkan golongan yang rentan dan orang-orang yang paling berisiko jatuh sakit dan mati akibat virus ini?,” soalnya.

Pegawai WHO juga menggesa pengeluar vaksin untuk memberikannya data dalam masa nyata untuk mempercepat agihan vaksin.

Awal minggu ini, WHO mengatakan bahawa kemudahan COVAX telah mengumpulkan AS$ 6 bilion daripada AS$ 7 bilion untuk tahun 2021 bagi membantu membiayai pembelian vaksin untuk 92 negara membangun yang tidak mampu membeli vaksin sendiri.

Hingga kini, negara-negara kaya termasuk Britain, anggota Eu, Amerika Syarikat, Switzerland dan Israel berada di barisan hadapan untuk penghantaran vaksin daripada syarikat-syarikat termasuk Pfizer dan rakan kongsi BioNTech, Moderna dan AstraZeneca.

Hampir 88 juta orang dilaporkan dijangkiti oleh novel coronavirus di seluruh dunia dan sekitar 1.9 juta telah meninggal sejak pertama kali muncul di China pada bulan Disember 2019, menurut sebuah laporan Reuters. – MalaysiaGazette