Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Majlis Amanat Menteri Tahun 2021 di Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2021

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membatalkan Permit Import (AP) terhadap pemegang yang  didapati terlibat dengan kartel daging import haram.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee walaubagaimanapun berkata, setakat ini  belum ada pembatalan yang dilakukan.

“Saya tidak dimaklumkan tetapi saya ada dapat maklumat umumnya ia tidak membatalkan mana-mana AP peringkat ini.

“Kita tahu beberapa agensi kerajaan sekarang melakukan siasatan ada di antara individu telah dituduh di mahkamah. sekiranya ada pemegang AP terlibat kita tidak teragak-agak membatalkan lesen pemegang AP berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat 2021 kementerian itu hari ini.

Menurut Ronald, beliau tidak akan melindungi warga WAFI sekiranya didapati terlibat dengan kartel itu.

“Saya sebagai menteri di kementerian ini (MAFI) tidak melindungi mana-mana warga MAFI yang terlibat tetapi kita inginkan satu siasatan mendalam bagi menangani isu ini secara dekat agar masalah ini dapat kita rungkaikan,” tambahnya.

Baru-baru ini, empat individu, termasuk pengarah, dua syarikat pengimport daging sejuk beku dikenakan perintah reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah penyeludupan daging sejuk beku, awal bulan lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Baharu, Nur Izzaty Muhammad, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette