Mauricio Pochettino

PARIS – Mauricio Pochettino meraih kemenangan pertamanya bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas menewaskan Stade Brest 3-0 dalam aksi Ligue 1 yang berlangsung di Parc des Princes semalam.

Ia selepas Moise Kean menjaringkan gol pendahuluan menerusi tandukan pada minit ke-16.

Ia merupakan gol ketiga penyerang yang dipinjam dari Everton tersebut dalam tiga perlawanan berturut-turut seperti laporan Semuanya Bola hari ini.

Penyerang Argentina, Mauro Icardi dan Pablo Sarabia yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua menambah kelebihan buat tuan rumah untuk memastikan skuad kendalian Pochettino itu meraih tiga mata penuh.

Perlawanan pertama jurulatih warga Argentina itu berdepan Saint-Etienne pada Rabu lalu berakhir seri 1-1 dan Pochettino percaya masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

“Kami gembira dengan keputusan ini, ianya adalah hasil kerja keras semua pemain.

“Tetapi saya merasakan masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kami perlu terus berusaha untuk mencapai standard yang lebih baik,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan.

PSG beraksi tanpa tonggak utama Neymar yang masih belum sembuh daripada kecederaan buku lali.

Dalam pada itu, Pochettino mempertahankan Kylian Mbappe yang terus ‘kemarau’ gol dalam empat perlawanan terakhirnya sekalipun mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan berdepan Brest itu.

“Mbappe telah beraksi dengan baik. Dia mendapat beberapa peluang, malangnya nasibnya tidak begitu baik dan gagal menjaringkan gol,” katanya.

Kemenangan tersebut meletakkan PSG di tangga kedua liga di belakang Olympiqye Lyon dengan hanya ketinggalan satu mata sahaja selepas 19 perlawanan.

Bagi aksi seterusnya, PSG akan berdepan Marseille pada 14 Januari ini untuk merebut Trophee de Champions.- MalaysiaGazette