Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah menunjukkan rakaman video mengenai kes samun tiga suspek Geng Kecik pada sidang media dua kes yang berlainan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto, AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tiga suspek lelaki disyaki anggota Geng Kecik yang aktif menyamun dan meragut sejak 10 bulan lalu berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kejayaan pihaknya mengesan ketiga-tiga suspek kerana mereka gemar memakai pakaian yang hampir sama setiap kali melakukan jenayah.

Selain pakaian, ahli Geng Kecik itu juga dikesan memakai topi keledar putih atau hitam, kasut berwarna kuning dan menunggang motosikal berwarna merah, putih dan hijau kebiru-biruan dalam setiap kegiatan mereka.

Ia teraka dalam kamera litar tertutup (CCTV) seterusnya menjadi petunjuk kepada polis menjalankan siasatan, kata Razali dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah menunjukkan jaket motor yang dipakai oleh suspek Geng Kecik dalam kes samun pada sidang media dua kes yang berlainan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto, AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2021.Pada 30 November 2020, polis menerima aduan dari seorang pegawai teknologi maklumat sebuah syarikat swasta  sekitar 4.35 petang yang menjadi mangsa ragut rantai emas oleh suspek bermotosikal.

“Mangsa mengadu semasa mengisi minyak kereta di Stesen Shell di Pinggiran Putra, Seri Kembangan tiba-tiba dia didatangi sebuah motosikal dan seorang suspek bertopeng dan memakai topi keledar dari arah belakang menarik rantai emas di lehernya bernilai RM3,000 sebelum berjaya meloloskan diri.

“Hasilnya, pada 1 Januari lalu, pasukan D9 IPD Serdang memulakan siasatan berdasarkan rakaman CCTV diperoleh dari kawasan kejadian dan melakukan pengintipan sebelum dapat mengenali nombor motosikal suspek adalah palsu.

“Berdasarkan sumber, pasukan kami mengesan sebuah rumah di kawasan Balakong, Cheras Jaya dan Saujana Utama Sungai Buloh dan berdasarkan pakaian dan motosikal yang sama terakam semasa kejadian dalam CCTV.

“Kemudiannya polis berjaya menahan tiga lelaki tersebut selepas tiga hari ‘berkampung’ di Sungai Buloh,” katanya.

Tambah Razali, dua suspek pertama ditahan di Saujana Utama manakala suspek ketiga di Balakong.

Ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke balai polis berdekatan dan direman 10 hari untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat 10 kes ragut secara bermotosikal di atas jalan di Balakong dan Serdang serta empat kes di Kajang selama 10 bulan lalu dengan nama Geng Kecik.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah menunjukkan motosikal yang dirampas dalam kes samun Geng Kecik pada sidang media dua kes yang berlainan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto, AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2021.

“Mereka turut memiliki rekod jenayah dadah lampau dan rekod jenayah samun dan curi di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Polis berjaya merampas rantai emas yang diragut dalam insiden terbaharu dan dua daripada tiga motosikal yang digunakan mereka adalah kenderaan curi selain tiga helai baju, sepasang kasut warna kuning, komputer riba dan kamera digital antara dirampas sebagai barang bukti jenayah.

“Modus operandi Geng Kecik menyasarkan mangsa dan lokasi yang bebas risiko ditangkap dan mudah melarikan diri sebelum melakukan ragut secara berpasangan.

“Dengan tertangkapnya tiga suspek kumpulan ni polis yakin berjaya menyelesaikan kes ragut di Serdang dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” tegasnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah menunjukkan gambar suspek tiga pemuda Geng Kecik dalam kes samun di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto, AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2021.

Justeru, Razali merayu kerjasama orang awam sekiranya pernah menjadi mangsa ragut atau terserempak dengan suspek berpakaian sama supaya segera tampil ke mana-mana balai berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu melengkapkan siasatan kes.

Menurut Razali, polis juga menyiasat sekiranya masih ada penglibatan saki baki rakan mereka yang akif melakukan jenayah.- MalaysiaGazette