KUALA LUMPUR – Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari 2021 sehingga 6 Februari 2021 akan disusun semula susulan  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam menyokong usaha membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dalam negara, Jabatan Perangkaan Malaysia sedang meneliti semula gerak kerja Banci Malaysia 2020 termasuk membuka semula platform e-Census (Banci Dalam Talian), kata Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Menurut beliau, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci di atas.

Sehubungan itu, tarikh baru pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa kedua di seluruh negara akan dimaklumkan kepada umum kelak.

Walau bagaimanapun bagi kawasan-kawasan selain PKP, pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci Malaysia 2020 dan survei-survei rutin Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)  masih diteruskan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Antaranya melibatkan pengemaskinian penyenaraian tempat kediaman, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi-lokasi terpilih.

Orang ramai dan syarikat-syarikat dimohon untuk terus memberi kerjasama. – MalaysiaGazette