Mustapa Mohamed

KOTA BHARU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas disahkan dijangkiti COVID-19 berkata penularan pandemik itu harus ditangani dengan ketegasan.

Katanya sebagai seorang yang sedang dirawat kerana jangkitan itu, beliau memahami tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

“Sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, saya amat memahami kata-kata Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dalam perutusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, demi negara, wabak ini perlu dikawal dengan penuh ketegasan.

“Pengumuman darurat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri hari ini amat penting bagi memastikan kita menang dalam memerangi COVID-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, menggesa semua ahli Parlimen, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang, agar menghentikan politiking dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ketepikan perbezaan politik dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan, katanya.

Menurutnya hanya dengan bersatu penularan pandemik COVID-19 di negara ini dapat ditangani.

Mengenai kesihatannya, Mustapa berkata beliau berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, kesihatan saya baik. Suhu normal, tiada batuk, cuma suara parau sikit. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, yang berdoa dan solat hajat.

“Di HRPZ II, doktor, jururawat dan seluruh warga hospital, memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya yang turut mengingatkan masyarakat agar tidak abaikan prosedur operasi standard cegah COVID-19.

“Kita jaga kita,” tambahnya.- BERNAMA