Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Covid-19 cases deaths
Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing yang baru berusia 19 tahun dari Sabah antara empat kes kematian melibatkan penularan Covid-19 yang dicatatkan hari ini.

Kematian ke-563 itu melibatkan mangsa yang mengidap penyakit anemia telah meninggal dunia di Hospital Papar, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain itu, kematian ke-560 adalah kes ke-67, 314 melibatkan seorang lelaki warga tempatan dari Sabah berusia 63 tahun mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi di Hospiytal Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Kes kematian ke-561 adalah kes ke 98, 481 membabitkan lelaki warga tempatan berusia 77 tahun yang mati di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang, Johor.

“Kes kematian ke-562 adalah kes ke 131, 515 lelaki warga asing dari Sabah berusia 62 tahun meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan pertambahan empat kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 563 kes atau 0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu, sebanyak 2,985 kes positif baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 144,518 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 32,377 kes.

Menurut Noor Hisham, bilangan kes sembuh Covid-19 pula adalah sebanyak 994 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh
sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 111,578 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya daripada 2,985 kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,983 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,109 kes adalah warga tempatan atau 70.7 peratus dan 874 kes adalah bukan warganegara,” ujarnya.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes (28.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 605 kes (72.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan diikuti Johor sebanyak 535 kes (17.9 peratus) dan Sabah sebanyak 450 kes (15.1 peratus).

Sebanyak 296 kes (9.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (161 kes), Kluster Tembok Mempaga (110 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Pagar Siput (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), dan Kluster Pagar Bentong (1 kes).

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 197 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.- MalaysiaGazette