ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Polis Petaling Jaya menerima banyak bantahan penutupan jalan di Kota Damansara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun pihak berkuasa keselamatan itu dijangka menambah sekatan jalan raya (SJR) dan penutupan jalan di daerah tersebut di beberapa kawasan panas yang telah dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia perlu dilakukan memandangkan bilangan kes di kawasan terbabit adalah kritikal.

“Saya menerima banyak bantahan berkaitan penutupan jalan terutama sekali di Persiaran Mahogani , Persiaran Jati dan Jalan ke Sungai Buloh.

“Tapi saya betul-betul minta maaf, sebab saya mempunyai statistik kes antara Damansara dan Sungai Buloh ianya sangat kritikal kalau dibandingkan dengan PKP tahun lepas (Mac 2020) iaitu jumlah kes amat kritikal.

“Saya juga tak dibenarkan mendedahkan jumlah nombor tapi percayalah kami bukan buat (sekatan jalan dan penutupan PKP) secara suka-suka. Ia antara keputusan sukar tapi adalah perlu sangat,” katanya hari ini.

Menurut Nik Ezanee, setakat ini empat SJR didirikan dan lima penutupan jalan dilakukan di sekitar Petaling Jaya dan terdapat lima lagi SJR akan didirikan dan dua laluan akan ditutup sepanjang PKP.

Tambah ebliau, setakat ini seramai 300 pegawai dan anggota dikerahkan untuk mengawal SJR serta penutupan jalan termasuk dari anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Apabila semua sekatan jalan berjaya didirikan, jumlah kekuatan anggota akan meningkat kepada 700 ke 800 pegawai dan anggota polis pentadbiran Petaling Jaya.

“Kita masih mengkordinasikan pembinaan sekatan jalan raya selain lapan pasukan cantas telah dikerahkan keluar menjalankan pemeriksaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) disamping mencegah kejadian jenayah selain kuatkuasa PKP,” ujarnya.

Semalam Nik Ezanee mengumumkan SJR akan dilakukan di lima jalan selain penutupan jalan di Jalan Gasing 5/46, Persiaran Mahogani, Persiaran Jati dan Sungai Buloh di antara Kota Damansara dan Sungai Buloh. – MalaysiaGazette