Pasukan Pautan bergerak dari Tol Gombak sebelum membawa bantuan makanan dan minuman ke Raub

KUALA LUMPUR – Memasak dan gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir.

Itu kerja amal kira-kira seramai 40 orang ahli Persatuan Alumni Universiti Malaya Mahasiswa Pahang (PAUTAN) dan pasukan strategik seperti Moto-Moto dan Marvelous Ayam Goreng Kunyett di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Kampung Pia, Raub, Pahang baru-baru ini.

Program yang dinamakan Misi Kemanusiaan Raub 2021 itu bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir jam 7 malam.

“Di dalam program ini masakan untuk 800 mangsa banjir telah disediakan dan kemudiannya pasukan bergotong-royong membersihkan lumpur dan sampah di beberapa buah rumah di Kampung Kuala Dong dan Kampung Ajai di Raub,” kata pengurus projek kerja amal berkenaan, Rudy Eruwan Jamain dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Pautan, Mohd Hasdi Mohammed menyampaikan
bantuan banjir termasuk dapur gas dan cerek elektrik kepada wakil PPS
di Kampung Pia, Raub, Pahang baru-baru ini.

Sepanjang program ini juga, sebanyak empat tan barangan bantuan seperti dapur gas, cerek elektrik, air mineral, beras, biskut, dan pakaian telah diserahkan kepada wakil keluarga yang terlibat dengan banjir.

Menurut Rudy Eruwan, PAUTAN telah menerima sumber kewangan dari orang ramai dan ia telah direalisasikan dalam bentuk bantuan kepada mangsa banjir.

Beliau turut mengharapkan agar pihak korporat atau individu yang berhasrat untuk memberi sumbangan agar tampil menghubungi beliau melalui fb.com/pautan.org.- MalaysiaGazette