Donald Trump. foto AP

WASHINGTON – Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Presiden Donald Trump “menghasut pemberontakan” pada rusuhan di bangunan Capitol minggu lalu.

Seramai 10 orang wakil Republikan berpihak kepada Demokrat untuk menyingkir Trump dengan undian 232-197.

Trump menjadi sejarah Presiden AS yang pertama disingkir sebanyak dua kali atau didakwa dengan jenayah oleh Kongres.

Beliau, dari Republikan akan berdepan dengan perbicaraan di Senat – yang mana jika disabitkan kesalahan akan dilarang untuk memegang jawatannya sekali lagi.

Meskipun begitu, Trump tidak perlu keluar dari White House sebelum tempoh pentadbirannya minggu depan kerana Senat tidak bersidang pada masa ini.

Trump akan meninggalkan pejabat pada 20 Januari ini, setelah kalah pada pilihan raya November lalu kepada Joe Biden dari Demokrat.

Dewan yang dikuasai oleh Demokrat mengundi pada hari Rabu setelah berdebat selama beberapa jam ketika pasukan Pengawal Nasional bersenjata berjaga-jaga di dalam dan di luar Capitol.

Biro Perisikan Persekutuan (FBI) telah memberi amaran mengenai kemungkinan protes bersenjata yang dirancang di Washington DC dan semua 50 ibu negeri AS menjelang majlis angkat sumpah Biden minggu depan.

Dalam rakaman video selepas sesi mengundi Kongres, Trump meminta penyokong-penyokong supaya tidak melakukan kekacauan.

“Kekerasan dan vandalisme tidak ada tempat di negara kita … Tidak ada penyokong sejati saya yang akan menyokong keganasan politik,” katanya, dengan nada muram.

Tuduhan pendakwaan adalah politik, bukan jenayah.

Presiden itu dituduh Kongres menghasut para penyokongnya menyerang Capitol dengan ucapannya pada 6 Januari di White House. – MalaysiaGazette