Gambar hiasan

WASHINGTON – Syarikat-syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah-langkah keselamatan yang tinggi menjelang majlis angkat sumpah presiden baharu minggu depan.

Beberapa larangan diperkenalkan ke atas penumpung untuk sementara waktu termasuk melarang membawa senjata api dalam penerbangan ke kawasan lapangan terbang Washington.

Delta Air Lines, American Airlines, United Airlines dan Alaska Airlines telah melaksanakan langkah tersebut.

Minggu lalu, penyokong Presiden Donald Trump menyerbu Capitol AS dan juga mengganggu beberapa penerbangan, meningkatkan kebimbangan mengenai keganasan menjelang pelantikan Presiden AS yang baharu, Joe Biden pada 20 Januari.

Alaska Airlines pula memperkenalkan peraturan baharu dengan meminta semua penumpang yang pergi ke dan dari DC untuk berada di tempat duduk selama satu jam bermula dari berlpeas atau semasa mendarat.

Tindakan ini serupa dengan langkah berjaga-jaga yang dilakukan selepas serangan 11 September 2001, ketika pemerintah AS menghendaki semua penumpang yang menuju ke Washington National Airport untuk tetap duduk selama 30 minit sebelum penerbangan berlepas atau tiba.

Hotel, syarikat penerbangan dan perniagaan lain meningkatkan keselamatan ketika pihak berkuasa merancang untuk mengerahkan sekurang-kurangnya 20,000 pasukan Pengawal Nasional berada di bandar ini.

Pada hari Rabu, Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS, Steve Dickson menandatangani perintah yang mengarahkan agensi itu untuk mengambil “dasar toleransi sifar” mengenai tingkah laku mengganggu.

Dickson memberitahu sehingga 30 Mac, penumpang yang mengganggu boleh dikenakan denda sehingga AS$ 35,000 dan kemungkinan dipenjara.

Dia menekankan bahawa FAA tidak akan mengeluarkan surat amaran atau merundingkan hukuman kepada pesalah pertama kali.

Minggu lalu, penyokong Trump memukul Senator Utah, Mitt Romney yang menaiki pesawat Delta dari Salt Lake City ke Washington.

American Airlines pula telah menghentikan hidangan minuman beralkohol dalam penerbangan ke dan dari lapangan terbang Washington dari Sabtu hingga 21 Januari.

American juga “menyemak pengumuman sebelum bertolak untuk lebih menekankan pentingnya mengikuti arahan kru dan mematuhi dasar wajib memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette