Perdana Menteri ketika mempengerusikan Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan secara sidang video pagi tadi. Gambar FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri Undang-undang dan Ketua Setiausaha Negeri.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu akan memantau isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, meneliti dan mengkaji isu berbangkit, juga mengesyorkan cadangan penyelesaian.

Selain itu, jawatankuasa tersebut berfungsi menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri dan mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Melalui hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah  mempengerusikan Sidang Darurat MKN menerusi sidang video  bersama-sama bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri pagi tadi, sejak Proklamasi Darurat diisytihar sejak 12 Januari 2021.

Selain itu kata beliau, jawatankuasa ini juga akan dianggotai oleh lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

Muhyiddin berharap jawatankuasa itu akan mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua peringkat agar pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilaksana secara berkesan.

Pada 12 Januari yang lalu Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.- MalaysiaGazette