Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) membuat tinjauan ke bilik-bilik yang akan menempatkan pesakit yang baharu ketika sesi lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

SERDANG – Mana-mana individu yang disahkan positif Covid-19 mahu menjalani rawatan di rumah tanpa ke hospital perlu mendapat kelulusan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kata Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menteri Kesihatan itu memberitahu, individu yang dikesan positif dan berada dalam kategori satu dan dua Covid-19 terlebih dahulu harus memenuhi beberapa prasyarat atau kriteria yang ditetapkan.

CAC telah ditubuhkan peringkat daerah dan negeri seluruh negara dan diketuai pegawai kesihatan daerah dan negeri.

“Pegawai kesihatan yang mengetuai CAC di setiap kawasan akan meneliti keseluruhan aspek prasyarat dan jika segala keperluan itu dipenuhi pesakit yang disahkan positif, barulah kelulusan menjalani rawatan di rumah akan dikeluarkan.

“Kementerian sudah memaklumkan kepada semua jabatan kesihatan negeri untuk mempersiapkan strategi baharu rawatan bagi individu yang disahkan positif, berada dalam kategori satu dan dua untuk dibenarkan dirawat di rumah mereka sendiri,” katanya dalam sidang media selepas melawat PKRC 2.0 Maeps petang ini.

Antara kriteria yang dikenakan sebagai syarat kelulusan merawat di rumah adalah ruang rumah seseorang individu yang didapati sesuai untuk menjalani rawatan, pengasingan dan selesa sepanjang tempoh rawatan serta kuarantin.

Menurutnya, kementerian itu tidak mempunyai perangkaan atau data spesifik jumlah individu dikesan positif dan sedang menjalani rawatan di rumah kerana ia masih di peringkat awal pelaksanaan.

“Saya ingin jelaskan bahawa CAC tidak akan memberi kelulusan menjalani rawatan di rumah bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan sampingan.

“Tindakan ini diambil kerana kita khuatir masalah kesihatan sampingan boleh menjejaskan proses penyembuhan seseorang pesakit sekiranya sekadar menerima rawatan di rumah tanpa ke hospital.

“Di samping itu KKM juga memperhebatkan lagi penggunaan aplikasi MySejahtera untuk menghantar maklumat kepada pesakit yang menjalani rawatan di rumah dan mereka akan diarah membuat penilaian kesihatan dari semasa ke semasa,” tegas beliau.