Masih ada cubaan rentas negeri, daerah tanpa kebenaran berlaku sepanjang Operasi Pematuhan PKP semalam.

KUALA LUMPUR – Hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat menyaksikan seramai 608 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Daripada jumlah itu, 580 individu dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 tiap seorang, manakala 27 lagi direman dan seorang dikenakan jaminan polis.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam Task Force Operasi Pematuhan yang dijalankan semalam, 200 orang dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka, manakala 66 lagi cubaan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

Selain itu, katanya, kompaun juga dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, premis beroperasi lebih masa dan aktiviti di pusat hiburan.

Ismail Sabri Yaakob

“Bagi kes kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dua tekong.

“Pasukan keselamatan juga turut merampas tujuh kenderaan darat, dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk Pati ke negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Ismail Sabri, agensi penguatkuasaan yang turut terlibat dalam Operasi Benteng kawalan sempasan negara ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Mereka itu, kata beliau, mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Mengenai Sekatan Jalan Raya (SJR), beliau berkata, sebanyak 415 SJR dilaksanakan semalam melibatkan Op Penawar (ATM, polis dan Rela) sebanyak 336 SJR, Op Benteng polis (40 SJR), Op Benteng AKSEM (9 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai operasi sanitasi awam Covid-19 yang dikawal selia bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac tahun lalu sehingga semalam.

Katanya, sebanyak 14,000 operasi sanitasi merangkumi 145 zon telah dilakukan dengan 15,388 premis disanitasi melibatkan 2,993 pusat perniagaan, 1,730 kawasan perumahan termasuk PPR, 3,054 tempat awam, 357 pasar raya dan 7,254 bangunan kerajaan.

Semalam, kata beliau, sebanyak 101 operasi sanitasi meliputi 31 Zon Merah, tiga Zon Jingga, lima Zon Kuning dan satu Zon Hijau telah dilaksanakan di Melaka (12 operasi), Sarawak (12), Sabah (10), Selangor (8), Pulau Pinang (5), Pahang (4), Perak (4), Kelantan (3), manakala masing-masing satu di Johor, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6), Putrajaya (2 operasi) dan Labuan (1). – MalaysiaGazette