SHIJIAZHUANG, China – Pembinaan kumpulan pertama pusat pemerhatian kesihatan yang membabitkan 1,500 bilik di wilayah Hebei, utara China, disiapkan dalam tempoh lima hari, kata pihak berkuasa.

Pusat itu, yang menggunakan tapak sebuah kilang yang baru siap dibina, merupakan antara kemudahan sementara dengan 6,500 bilik yang dirancang untuk dibina dengan segera di enam lokasi di bandar Nangong bagi membendung penularan Covid-19.

Setiap bilik yang berkeluasan 18 meter persegi dilengkapi dengan katil, pemanas elektrik, tandas dan sinki. Akses internet turut disediakan, lapor agensi berita, Xinhua.

Semalam, lebih 800 orang penduduk yang merupakan kontak rapat atau kontak rapat sekunder kes yang telah disahkan dipindahkan ke situ.

Pembinaan lebih 1,500 bilik juga telah disiapkan. Bilik-bilik itu akan digunakan selepas ia dilengkapi dengan perabot.

Pembinaan projek itu bermula pada 10 Januari lalu selepas satu kluster kes Covid-19 dilaporkan di bandar tersebut dan pembinaan baki bilik-bilik itu akan mula digunakan dalam tempoh seminggu, menurut jabatan pablisiti tempatan.

Seorang pengurus yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut yang bekerja dengan syarikat kejuruteraaan tempatan, Qu Peiceing berkata, seramai 300 pekerja terlibat dalam dua sif siang dan malam dalam kerja-kerja pembinaan itu.

Para pekerja perlu menjalani ujian asid nukleik setiap beberapa hari, katanya.

Kerja-kerja nyah kuman kerap dilakukan di kawasan tapak pembinaan, tambah Qu. – MalaysiaGazette