Pesakit Covid-19 perlu kerap sanitasi tangan.

KUALA LUMPUR – Individu yang disahkan positif Covid-19 kini boleh dikuarantin di kediaman masing-masing dengan dengan syarat keadaan pesakit dinilai oleh petugas kesihatan Pusat Penilaian Covid-19 (Covid-19 Assessment Centre (CAC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syaratnya ia pesakit tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan, bukan daripada golongan berisiko tinggi contohnya warga emas dan pesakit kronik.

Selain itu, pesakit perlu mempunyai penjaga yang sesuai dan kesesuaian tempat kediaman bagi tujuan pengasingan diri.

“KKM menasihati agar mana-mana individu yang telah dimaklumkan positif Covid-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa dan terdapat 10 langkah yang perlu diambil mereka.

Antaranya duduk di bilik yang berasingan daripada penghuni yang lain dan sebaik-baiknya bilik tersebut mempunyai kemudahan bilik air; jika terpaksa berkongsi bilik air, bersihkan permukaan yang disentuh seperti tombol pintu, pili air, dan peralatan lain setiap kali selepas digunakan.

Elakkan interaksi secara bersemuka dengan penghuni yang lain dan sekiranya tidak dapat dielakkan, pastikan kedua-dua pihak memakai pelitup muka; laporkan status kesihatan terkini kepada petugas kesihatan atau melalui aplikasi MySejahtera setiap hari dan jika gejala bertambah teruk, hubungi CAC atau Klinik Kesihatan yang terdekat atau hubungi talian 999 bagi kes kecemasan.

Dalam kenyataan media di sini hari ini, Dr Noor Hisham menambah, seseorang pesakit positif dikuarantin di rumah perlu cuci tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitasi secara lebih kerap dan mengamalkan etika batuk yang betul iaitu menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;

Pesakit di rumah juga perlu membuang tisu dan pelitup muka yang telah digunakan ke dalam bungkusan yang diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah serta segera mencuci tangan,  selain mencuci peralatan yang digunakan untuk makan dan minum sebelum digunakan semula.

Pengudaraan rumah juga mesti baik dengan membuka tingkap dan tidak boleh menerima pelawat ke rumah.

“Untuk makluman, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Keutamaan untuk menjalani ujian swab Covid-19 diberikan kepada mereka yang bergejala.

“Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain.

“Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh tersebut,” tegas beliau. -MalaysiaGazette