Pesawat pengebom, B52H.

LONDON – Pesawat pengebom Amerika Syarikat, B52H, terbang di ruang udara Timur Tengah bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan ketika ketegangan dengan Iran memuncak.

Misi ‘rondaan’ itu dilakukan sehari selepas dua peluru benpandu balistik Iran dilaporkan jatuh kira-kira 100 batu (160 kilometer) dari kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz, di utara Lautan Hindi.

Ia merupakan kali kelima pada bulan ini Tentera Udara AS melakukan misi penerbangan serupa di rantau itu ketika ketegangan antara Tehran dan Washington meningkat.

Pemerintah Pusat AS yang mengawasi operasi tentera AS di rantau itu berkata, krew udara berjaya menyempurnakan misi tersebut pada Sabtu lalu.

Media Israel melaporkan dua pesawat besar dilihat terbang di ruang udara negara itu.

Pemerintah Pusat, Jeneral Frank McKenzie berkata, misi seumpama itu merupakan kaedah untuk menunjukkan komitmen berterusan tentera AS terhadap keselamatan rantau tersebut.

“Penempatan semula jangka pendek aset strategik merupakan bahagian penting perwatakan pertahanan di rantau ini.

“Peluang latihan dan integrasi berterusan dengan rakan serantau meningkatkan siap siaga dan menghantar mesej jelas dan konsisten dalam persekitaran operasi kepada rakan dan musuh,” katanya. – MalaysiaGazette