Peniaga, B. Tatcchna menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Khas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JANUARI 2021.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengumumkan pelan merangsang ekonomi bernilai RM15 bilion di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Pakej ini merupakan kesinambungan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion ringgit atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej bantuan Permai ini menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan sebanyak 22 inisiatif yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu Memerangi Wabak Covid-19;  Memelihara Kebajikan Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.
Menurutnya, bagi membiayai pakej bantuan Permai, Kerajaan akan membuat penjajaran semula  peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang  lebih berhemat.
Kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.
Katanya, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah perisytiaran darurat bagi membendung Covis-19 ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal.
Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan empat pakej bantuan untuk rakyat Malaysia iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.
Antara intipati utama pakej ini adalah memperkukuhkan sistem kesihatan negara.
Dengan peruntukan RM150 juta, kerajaan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.
Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian one-off sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300  kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.
Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak Covid-19 ini berakhir.
Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi hospital-hospital swasta yang bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.
Tambahnya, bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.
Golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300 dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan akan menerima RM150 ringgit.
Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya, akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.
Bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta ringgit di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir.
Menurutnya, bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan terrmasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank.
Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.
Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam PKS, membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran.
Mengulas mengenai i-Sinar, Muhyiddin menambah, KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000  permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.
Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga
dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.
Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. – MalaysiaGazette