Mohammed Nizham Abdullah Hamidi

KUALA LUMPUR – Sambil menyambut baik pengumuman pakej bantuan semalam terutamanya RM66 juta untuk membantu sektor pengangkutan awam namun Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan juga mempersoalkan nasib bekas kakitangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi apakah pula nasib pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan itu yang sudah tamat kontrak sejak Disember 2020.

Ini kerana pihaknya telah difahamkan kontrak perkhidmatan mereka telah pun tamat pada Disember 2020 dan ada sebilangan besar daripada mereka masih ternanti-nanti kontrak sambungan mereka.

Lebih menyedihkan mereka juga tertanya-tanya jika gaji mereka pada bulan Januari 2021 akan dibayar atau tidak, kata Mohamed Nizham.

“Kami merasakan adalah tidak adil untuk kerajaan membiarkan mereka yang banyak menyumbang kepada pembangunan pengangkutan awam darat negara semenjak tahun 2010 hidup seperti gantung tidak bertali.

“Kami yakin keadaan yang mereka alami semenjak pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibuat tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberi kesan langsung kepada tahap produktiviti mereka.

“Kami juga difahamkan bahawa terdapat seorang staf yang telah meninggal dunia disebabkan Covid-19 di rumah sewa beliau selepas demam selama seminggu kerana tiada wang untuk ke klinik. 

“Sememangnya kami faham pentingnya sistem pengangkutan awam darat yang efisen di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Namun, bukan sahaja kerajaan PH malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga kami lihat masih tercari-cari hala tuju sistem pengangkutan negara termasuklah kedudukan APAD di dalam membantu kerajaan menggubal dasar dan melaksanakan pelan-pelan pengangkutan awam yang dirancang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Soal Mohamed Nizham lagi, pihaknya mempunyai beberapa persoalan dan berharap jawapan dapat diberikan kepada umum memandangkan ianya lebih kepada kepentingan rakyat. 

“Sebenarnya apakah perancangan kerajaan di dalam memastikan agensi seperti APAD dapat berfungsi dengan berkesan di dalam menyokong pembangunan pengangkutan awam darat negara?

“Pembubaran SPAD merupakan satu kesilapan besar kerajaan PH dan kami sedia maklum akan penglibatan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak yang menyokong penubuhan SPAD sebagai agen transformasi pengangkutan awam darat negara.

“Kini APAD seolah-olah berfungsi sebagai Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang fungsinya hanya menguruskan hal-hal berkaitan perlesenan. Satu tidakkan kebelakang oleh kerajaan PH yang perlu diperbaiki oleh kerajaan hari ini,” soalnya.

Dalam pada itu, Mohamed Nizham bertanya apakah pelan jangkamasa panjang bagi pegawai-pegawai APAD ketika ini.

“Kami dimaklumkan bahawa mereka ditawarkan kontrak selama dua tahun dengan potongan gaji sehinggaa 70 peratus pada 2018. Ini telah menyebabkan negara kehilangan pakar-pakar pengangkutan awam kepada pemain-pemain industri di dalam dan luar negara.

“Kini setelah tamat kontrak dua tahun, mereka sekali lagi ditawarkan kontrak yang sama. Ini adalah satu keadaan tidak adil kepada pegawai-pegawai APAD sekaligus merencatkan tahap produktiviti mereka dan memberi kesan langsung kepada pembangunan pengangkutan awam negara.

“Kami amat mengharapkan kerajaan untuk lebih fokus di dalam menetukan halatuju pembangunan pengangkutan awam negara. Kami yakin, dengan perancangan yang teliti dan baik, ia mampu untuk menyokong pemulihan ekonomi negara sekaligus membantu menambahbaik keperluan mobiliti di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menambah, sekiranya kerajaan boleh peruntukkan RM 85 juta untuk penubuhan semula JASA, takkkanlah kerajaan hendak tutup mata dengan keadaan APAD. -MalaysiaGazette