Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

GOMBAK – Gara-gara mempunyai masalah dalam perhubungan cinta, seorang wanita cuba bunuh diri dengan terjun dari tingkat dua Apartmen Selayang Heights di sini pagi tadi.

Kejadian pukul 4.30 pagi itu disedari ibu bapa wanita berusia 26 tahun itu apabila melihat anaknya tiada dalam bilik tidur sebelum ditemui mahu terjun dari tingkat dua bangunan kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya terima panggilan daripada ahli keluarga wanita itu sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kita meminta bantuan pihak bomba untuk menurunkan mangsa yang berada di tingkat dua itu, namun suspek bertindak terjun sebelum terjatuh di bahagian papan iklan di tingkat satu.

“Wanita itu dibawa ke hospital Selayang untuk rawatan susulan mengalami kecederaan ringan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati wanita itu mempunyai masalah dengan teman lelakinya sejak beberapa minggu lalu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bunuh diri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette