Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 peratus pengusaha dan pemandu bas sekolah sehingga kini tidak tahu nasib mereka selepas sesi persekolahan ditangguhkan lagi baru-baru ini.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, mereka kini dalam dilema kerana tidak ada mata pencarian lagi gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Apatah lagi, sebanyak 80 peratus daripada pemandu bas sekolah terdiri daripada wanita, katanya.

Justeru selain bantuan one off sebanyak RM500, Mohd Rofik memohon kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme yang boleh membantu pengusaha dan pemandu bas untuk satu jangka masa yang panjang memandangkan jangkaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak boleh dipastikan tempohnya.

“Kalau dulu one-off diberikan RM3,000 itu masa PKP pertama. Ini PKP kali ini kalau masih berlarutan bagaimana? Kita tidak ada satu jangka ia akan tamat. Tidak ada seorang pun tidak tahu Covid-9 ini titik noktahnya bila.

“Pengusaha bas pelanggan tetap adalah murid sekolah sekarang ini tidak ada pendapatan,” katanya.

Katanya lagi, baru-baru ini pengusaha dan pemandu bas khususnya pastinya telah mengeluarkan sejumlah wang mereka sendiri untuk membuat persediaan apabila dikatakan sekolah akan mula dibuka 20 Januari namun akhirnya ditunda.

“Pengusaha yang tinggal beberapa peratus sahaja yang nak beroperasi esok (sepatutnya) sudah keluarkan kos sendiri bayar insurans, baik pulih, penyelenggaran bas, untuk menampung kos sedia ada RM500 tidak cukup tapi daripada tidak ada sedikit sebanyak membantu pengusaha,” tambahnya.

Meskipun berat untuk mengatakan tetapi beliau mencadangkan pengusaha dan pemandu bas sekolah diberikan bantuan kewangan setiap bulan daripada kerajaan.

Ia setidak-tidaknya membantu pengusaha dan pemandu bas yang tidak mempunyai punca rezeki lain dapat menyara kehidupan seharian mereka.

“Kalau one-off sekejap akan habis. Dalam keadaan sekarang sekolah masih tutup dan kita tidak tahu tidak jangka bila sekolah mula buka semula. Kalau kata Mac pun kes masih tinggi, pasti pembukaan sekolah akan ditangguh lagi,” tambahnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif, berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Antara yang menerima inisiatif menerusi inisiatif adalah industri pengangkutan termasuk bantuan one-off RM500 dijangka akan memanfaatkan 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

Pemandu bas dan teksi yang ingin menebus bantuan ini boleh membuat permohonan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat.-MalaysiaGazette