Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu polis mengambil tindakan serius dan segera kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dirogol oleh seorang tahanan lelaki di salah sebuah lokap balai polis di Sarawak.

Malah, suruhanjaya itu menuntut semua garis panduan (SOP) bagi lokap dikaji semula dan mempertingkatkan fasilitinya
seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Professor Datuk Noor Aziah Hj. Mohd Awal berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan susulan terhadap isu ini dan akan memanjangkan cadangan yang sesuai dalam memastikan hak serta keselamatan kanak-kanak dilindungi.

Katanya, Suhakam dukacita dan kecewa dengan berita yang dilaporkan itu kerana ia menimbulkan kebimbangan terhadap kurangnya pelaksanaan dan mekanisma perlindungan oleh kerajaan untuk melindungi kanak-kanak, termasuk kanak-kanak dalam tahanan.

Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga ingin menekankan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara pihak bagi Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), mempunyai kewajipan untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan bagi melindungi hak kanak-kanak.

”Amat penting bagi satu siasatan dijalankan demi kepentingan kanak-kanak kerana kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku, terutamanya apabila kanak-kanak tersebut berada di bawah pengawasan pegawai penguatkuasa undang-undang.

”Acap kali, kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang ada kecenderungan untuk dilupakan, walhal pada hakikatnya, kanak-kanak adalah mangsa dan penjagaan asas untuk melindungi mereka amat diperlukan,” katanya di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast