Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar mengambil peluang membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

SERI KEMBANGAN – Pengusaha pusat gimnasium lot kedai merayu kepada kerajaan agar memberi dana khas atau subsidi kepada golongan itu sekiranya mempunyai peruntukan yang lebih.

Presiden Penaja, Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar berkata, ini kerana sekurang-kurangnya dana itu dapat membantu pengusaha gimnasium untuk membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Jelas beliau, realitinya ramai pengusaha tidak memiliki modal pusingan besar jika dibandingkan dengan pusat gimnasium terkenal atau yang bertaraf lima bintang.

“Janji kami boleh lepas bayar sewa lot kedai dan gaji pekerja. Jika tidak, lagi banyak pusat gimnasium akan ditutup dan dana yang diberikan boleh membantu kami.

“Sejak PKP tahun lalu, kebanyakan gimnasium tidak memberhentikan pekerja dan tidak mengurangkan gaji mereka kerana kami faham mereka ada komitmen yang perlu dibayarkan

“Dengan adanya dana khas, gimnasium masih boleh beroperasi dan kakitangan masih mempunyai pekerjaan.

“Mengenai Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), memang kami mendapat manfaat RM600. Namun rata-rata gaji pekerja sekitar RM1,200 dan RM1,300 dan pengusaha perlu menambah baki gaji lagi. Apatah lagi kami turut terbeban dengan baki hutang sewa lot kedai yang perlu dijelaskan ketika PKP tahun lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini semalam.

Temubual bersama Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Kumar turut merayu agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu pengusaha gimnasium untuk mengurangkan bayaran lesen perniagaan yang tinggi ketika ini.

Jelas beliau, ini kerana pusat gimnasium diletak di bawah kategori perubatan sama seperti pusat urut yang dibolehkan menjalankan akvititi lain seperti spa.

Sepatutnya kata Kumar, gimnasium diletakkan di bawah kategori kesihatan seperti klinik, pejabat dan restoran yang mana lesen perniagan adalah antara RM200 hingga RM300.

“Kadar lesen peniagaan juga berbeza antara negeri dan daerah di mana kadar di kawasan Ampang, Subang berbeza dengan Shah Alam dan Taiping.

“Gimnasium sepatut di bawah kategori pusat kesihatan tapi dimasukkan di bawah pusat perubatan di mana ada aktiviti spa dan umah urut.

“Jadi gimnasium dimasukkan di bawah sektor itu di mana satu meter persegi dikenakan bayaran lesen RM100 dan cuba bayangkan ada lot kedai dikenakan hingga RM10,000 sethaun.

“Ditambah dengan PKP, kami susah hendak bertahan padahal gimnasium adalah tempat untuk bersukan dan mengelakkan masayarakan lepak dan membuang masa sebaliknya menjadi sihat,” katanya.

Kumar turut menyarankan KBS agar meminta semua pusat gimnasium berdaftar dengan pihaknya atau negeri dalam usaha memiliki data hubungan yang baik.

Ini kerana katanya, setiap kali pertemuan dan mesyuarat dengan pihaknya kementerian, hanya pusat gimnasium terkenal atau bertaraf lima bintang sahaja dipanggil untuk mengemukakan pandangan. – MalaysiaGazette