Tiga suspek Geng Ah Boon terlibat samun mensasarkan pekerja asing di tapak binaan di Puchong tumpas di tangan polis Serdang semalam.

SERDANG – Polis menumpaskan Geng Ah Boon yang disyaki menyamun pekerja warga asing di tapak pembinaan di Puchong, Selangor berikutan tertangkapnya tiga lelaki.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasuakn anggota polis diketuai Inspektor Hanif dari Cawangan Siasatan Jenayah D9 Serdang telah membuat tangkapan ke atas tiga individu lelaki di Kampung Baru Dengkil malam semalam.

“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai terlibat dengan satu kes samun di tapak pembinaan berhampiran LRT Bandar Puteri, Puchong.

“Mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja ditapak pembinaan tersebut.

“Soal siasat lanjut ke atas suspek, mereka mengaku telah terlibat di dalam kes jenayah itu yang kini disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razali, hasil tangkapan itu polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang disyaki digunakan suspek untuk menyamun.

Tambah beliau, polis turut merampas lima bilah pisau, sebilah parang, lima buah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan semasa menyamun.

Ujar beliau mangsa telah berkerugian wang tunai RM1200 dan barangan peribadi pasport serta kad bank.

Menurutnya, geng berkenaan aktif kegiatan samun sejak lebih setahun lalu dan mempunyai dua kes rekod jenayah lampau pada Julai dan Disember 2020 manakala ujian air kencing menunjukkan ketiga-tiga suspek positif dadah Methaphetamine.

“Modus operandi geng Ah Boon ini adalah melakukan kegiatan samun di tapak binaan mensasarkan mangsa warga asing dan semakan lanjut mendapati kesemua saspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah narkotik dan juga jenayah pecah rumah.

“Kesemua suspek adalah berusia 27 hingga 43 tahun dibenarkan oleh mahkamah supaya direman selama lima hari sehingga 24 Januari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Razali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette