Polis merampas tujuh keping kertas putih bertulis angka-angka, 2 keping slip pembelian bertulis angka-angka nombor loteri serta wang tunai berjumlah RM147.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua wanita kerana disyaki terlibat menjual loteri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelana Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Yusof berkata, kedua-dua wanita berusia 36 tahun itu ditahan kerana menjalankan perniagaan yang tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu dan tidak boleh beroperasi sepanjang PKP.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 2.50 petang di luar dan dalam sebuah premis menjual nombor loteri berlesen di Kelana Jaya semalam.

“Polis berjaya merampas tujuh keping kertas putih bertulis angka-angka, dua keping slip pembelian bertulis angka-angka nombor loteri serta wang tunai berjumlah RM147,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga asing yang didapati ingkar arahan PKP di kawasan yang sama.

Dua suspek lelaki warga asing ditahan kerana menjalankan perniagaan cuci kereta tanpa lesen.

Kedua-dua suspek lelaki warga asing berumur 29 dan 47 tahun kerana menjalankan perniagaan cuci kereta tanpa lesen.

“Hasil tangkapan mendapati mereka menjalankan perniagaan di Kelana Jaya tanpa lesen serta gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana yang dibenarkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.-MalaysiaGazette