Datuk Dr Abd Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan dan memantau rapi pelaksanaan Projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) agar ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Turut menjadi fokus kementerian itu pada tahun ini adalah pelaksanaan 539 projek infrastruktur luar bandar yang telah dirancang.

Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berharap semua projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun negara berhadapan dengan kekangan dan cabaran berikutan penukaran wabak Covid-19.

“Infrastruktur yang lengkap akan menjadi pemangkin kepada kemajuan di sesebuah kampung termasuk dari segi ekonomi dan modal insan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu secara maya menerusi Facebook KPLB hari ini.

Menurut beliau, fokus KPLB yang seterusnya adalah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, menerusi kira-kira 20 program yang akan dilaksanakan.

“Kita sedia maklum, Paras Garis Kemiskinan telah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada tahun 2019. Ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada bulan April 2020 kepada 182,116 isi rumah.

“Bilangan ini dijangka meningkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan rakyat untuk keluar bekerja.

“KPLB perlu menyelaraskan semula program-program ini untuk mengelakkan pertindihan dan mampu mengeluarkan mereka yang berkaitan daripada lingkaran garis kemiskinan,” tambah beliau.

KPLB, tambah beliau, turut menumpukan perhatian terhadap usaha menambah pendapatan penduduk luar bandar.

Menurut Abd Latiff, usaha itu dilaksanakan menerusi pemerkasaan ekonomi luar bandar dengan sumber baharu.

Katanya, usaha ke arah itu juga boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan strategi untuk aktiviti pelancongan desa dan memperkukuhkan lagi sistem rantaian bekalan pemasaran produk usahawan luar bandar menerusi Desamall@KPLB.

“Tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada komoditi seperti sawit dan getah tetapi juga tanaman-tanaman kontan yang lain. Dalam hal ini, KPLB boleh bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai tanaman-tanaman baharu yang boleh diusahakan,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi Desamall@KPLB, di mana KPLB dan usahawan luar bandar boleh mengambil peluang semasa PKP ini untuk meningkatkan jualan atas talian.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah peruntukan keseluruhan KPLB yang telah diluluskan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM10.2 billion.

Jumlah ini adalah RM431 juta atau 4.41 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun 2020, ujarnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.65 billion merupakan peruntukan pembangunan (DE) dan RM3.53 billion bagi peruntukan mengurus. – MalaysiaGazette