Pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002 yang telah mengorbankan 202 nyawa. foto agensi

WASHINGTON – Pentagon memaklumkan pendakwa tentera Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan pertuduhan rasmi terhadap seorang militan Indonesia dan dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam pengeboman Bali pada 2002 serta pengeboman Jakarta pada 2003.

Ia dilakukan pada hari pertama pentadbiran presiden baharu AS, Joe Biden.

Tuduhan telah dikemukakan hampir 18 tahun setelah ketiga-tiga mereka ditangkap di Thailand dan dimasukkan ke penjara tentera AS di Teluk Guantanamo selama lebih dari 14 tahun.

Dakwaan pertama adalah terhadap Ridwan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali, yang merupakan pemimpin kumpulan Jamaah Islamiyah (JI) dan Al-Qaeda di Asia Tenggara.

Kumpulan JI dengan sokongan Al-Qaeda menjadi dalang pengeboman di Sari Club pada 12 Oktober 2002 lalu menyebabkan 202 orang maut.

Pada 5 Ogos 2003 lalu, mereka turut mengebom hotel JW Marriot di Jakarta yang meragut 12 nyawa dan mencederakan puluhan orang.

(dari kiri) Hambali, Mohammed Nazir Lep and Mohammed Farik Amin.

Dua rakyat Malaysia yang didakwa tentera AS adalah Muhammad Nazir Lep dan Muhammad Farik Amin yang dikenali sebagai pembantu Hambali di Jamaah Islamiyah yang dilatih di kumpulan Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo.

“Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, percubaan pembunuhan, menyebabkan kecederaan serius, keganasan, menyerang orang awam, memusnahkan harta benda, bersubahat serta melanggar undang-undang perang,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, masih tidak jelas mengapakah pertuduhan di hadapan tribunal tentera itu diumumkan semula semalam, setelah lewat beberapa tahun. -MalaysiaGazette