Joe Biden. foto Agensi

TAHNIAH diucapkan kepada Joseph R. Biden Jr. atau lebih dikenali umum sebagai Joe Biden kerana telah berjaya diangkat sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu. Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke- 46 bagi mengantikan Donald
Trump yang gagal mempertahankan jawatannya pada pilihan raya tahun lalu,

Proses pilihan raya Presiden AS pada tahun 2020 yang lalu dilihat sebagai satu proses pertandingan yang paling hangat dalam sejarah negara itu kerana pertandingan cukup sengit. Sehingga kini Trump masih tidak dapat menerima hakikat kekalahan beliau.

Perlantikan Biden bakal membawa banyak perubahan bukan sahaja terhadap proses pentadbiran AS sendiri malah di serata dunia. Sebagai sebuah kuasa besar dunia, sudah pasti apa yang berlaku di AS bakal membawa kesan kepada seluruh dunia. Sejak
Trump memegang jawatan Presiden AS pada tahun 2017, banyak dasar dan polisi keras telah dilakukannya. Segala dasar dan polisi
oleh Trump bukan sahaja ditujukan terhadap rakyat AS sendiri, malah kepada seluruh dunia.

Antara yang menjadi mangsa teruk asar dan polisi keras AS di bawah pentadbiran Trump adalah masyarakat Palestin. Masyarakat Palestin tidak akan dapat melupakan apa yang telah dilakukan oleh Trump terhadap tanah air mereka. Pada penghujung tahun 2017 yang lalu, Donald Trump telah mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara mutlak milik Israel, sekaligus menafikan hak masyarakat Palestin untuk menubuhkan negara sendiri dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Banyak lagi dasar dan polisi yang telah diambil oleh Trump yang secara terang memihak kepada Israel. Israel seolah-olah menjadi anak emas di bawah pentabiran Trump. Bagaimana pula nasib masyarakat Palestin pada zaman Biden kelak? Ramai yang
menjangkakan beliau akan meneruskan dasar dan polisi tinggalan bekas majikan lamanya iaitu Presiden Barack Obama (2009 – 2017) dengan memastikan kewujudan dua buah negara merdeka iaitu negara Palestin dan Israel yang dapat hidup aman antara satu sama lain.

Persoalan akan mula timbul, adakah Biden akan menarik kembali segala dasar dan polisi keras yang ditinggalkan oleh
Trump terhadap masyarakat Palestin termasuk menarik kembali pengiktirafan yang telah diberikan terhadap status bandar raya Baitulmaqdis sebagai ibu negara mutlak milik Israel?

Selain daripada isu konflik antara Palestin dan Israel, Biden juga bakal mewarisi banyak dasar dan polisi keras antarabangsa yang ditinggalkan oleh Trump seperti isu pembangunan senjata nuklear Iran, konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China serta negara-negara jirannya sendiri seperti Mexico dan Kanada, penglibatan Amerika Syarikat terhadap badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain lagi.

Biden juga perlu melihat kembali penglibatan AS terhadap isu alam sekitar yang banyak diabaikan dibawah pentadbiran Trump.  Antara isu segera yang perlu diberi perhatian oleh Biden adalah kawalan dan membendung penularan virus Covid-19 dalam negaranya sendiri. Penularan virus Covid-19 di AS adalah yang paling teruk sekali dalam dunia. Sikap tidak acuh Trump terhadap penularan virus Covid-19 ini telah menyebabkan ramai rakyat AS menjadi mangsa jangkitan terhadap virus terbabit.

Selain itu, Biden juga perlu meredakan konflik perkauman antara kaum kulit putih dan kulit hitam yang tercetus beberapa bulan yang lalu selepas peristiwa pembunuhan seorang warga kulit hitam AS bernama George Floyd pada bulan Mei yang lalu. Walaupun AS banyak melayan masyarakat antarabangsa dengan keras selama ini melalui segala dasar dan polisi luar mereka, namun atas dasar kemanusiaan, masyarakat antarabangsa tidak harus membalas dendam terhadap mereka.

Masyarakat antarabangsa harus memberi sokongan dan segala bantuan yang diperlukan oleh Biden kelak bagi memastikan AS dapat pulih daripada segala masalah yang ditinggalkan oleh Trump. Sebagai sebuah kuasa besar dunia, kestabilan AS
adalah penting bagi kestabilan seluruh dunia.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)