Datuk Dr Abd Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Dasar dan tadbir urus sedia ada agensi dan organisasi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) wajar dikaji semula bagi memastikan fungsinya seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, tindakan perlu dilakukan demi memastikan masyarakat luar bandar menerima manfaat sepenuhnya daripada pembangunan yang dirancang.

“Contoh, Dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) perlu dikaji semula dengan mengambil kira sudut fungsinya terutama dalam membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu secara maya menerusi Facebook KPLB hari ini.

Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kaedah pelaksanaan program di bawah kementerian itu juga perlu diberi perhatian supaya peruntukan yang dibelanjakan berbaloi dan dalam masa sama dapat memantapkan penyelarasan senarai projek di antara kementerian itu dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan mengelakkan pertindihan.

“Program/projek dilaksanakan hendaklah sustain dan bagi maksud ini follow up dan follow through hendaklah dilaksanakan.

“KPLB boleh mendapatkan pandangan serta perkongsian pengalaman dan kaedah yang dilaksanakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang benar-benar terlibat secara berterusan dalam melaksanakan projek-projek komuniti di negara ini bagi membantu menambah baik proses kerja,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abd Latiff menyeru warga KPLB mematuhi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) berkenaan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran kementerian berkenaan.

Ujarnya, sebanyak 18 inisiatif telah digariskan dan akan dilaksanakan oleh pelbagai bahagian atau unit berdasarkan bidang keutamaan masing-masing bagi mencapai visi ‘KPLB Sejahtera Tanpa Rasuah’.

“Bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran, saya ingin menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan.

“Adalah amat perlu untuk kita mewujudkan budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana unsur yang bertentangan dengan nilai dan etika,” tambah beliau.-MalaysiaGazette