APM memasang kelekapan untuk menempatkan mangsa banjir yang dipindahkan. Gambar ihsan APM

KUALA LUMPUR – Mangsa banjir di Sabah berkurangan kepada 352 orang daripada 99 keluarga yang direkodkan pagi tadi berbanding 445 daripada 135 keluarga, semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menerusi informasi terkini bencana banjir di Facebook memaklumkan, kesemua mangsa banjir terbabit ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah membabitkan Kota Belud, Beaufort dan Tenom.

Lima PPS iaitu masing-masing dua di daerah Beaufort dan Kota Belud serta satu di Tenom dengan kesemuanya melibatkan 70 kampung yang masih ditenggelami banjir.

“Di Beaufort, Dewan Mohd Dun Banir menempatkan seramai 131 mangsa daripada 45 keluarga dan di Dewan Pa’Musa 118 mangsa daripada 32 keluarga,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah APM lagi, di Kota Belud, Dewan Sekolah Suang Punggor menempatkan 35 mangsa daripada sembilan keluarga manakala, Dewan Kampung Song-Song menempatkan seramai 42 mangsa daripada lapan keluarga.

Sementara itu di Tenom, Rumah Kebudayaan Kampung Kalang Banar menempatkan seramai 26 mangsa daripada lima keluarga.

Turut dipaparkan menerusi makluman itu iaitu amaran angin kencang dan laut bergelora yang mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Timur serta Labuan sehingga hari ini. – MalaysiaGazette