Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius pemaparan yang tidak beradap dalam laman Facebook yang dilakukan oleh wanita Melayu Islam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim meminta pihak berkuasa agama mengambil tindakan dengan menasihati individu tersebut supaya tidak memaparkan gaya yang tidak wajar yang mampu membawa fitnah kepada imej dan masyarakat Islam.

“Gaya dan pakaian yang sangat tidak sesuai dan melanggar adab agama dan budaya Melayu Islam tidak sepatutnya diperaga dalam bentuk yang dihantar melalui akaun Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut merujuk kepada paparan pemilik facebook antaranya TVsyintagila yang disifatkan tidak sopan dan bercanggah dengan adab dalam Islam.

Selain itu, majlis tersebut turut merujuk kepada pemilik akaun Kak Km yang mengiklankan produk dengan gaya yang tidak wajar dengan memaparkan cara pengiklanan yang didakwa Mapim berunsur lucah dan perbuatan itu jelas sangat memalukan kaum wanita kerana memperlihatkan imej wanita yang tidak sopan.

Menurut Mohd Azmi, pemilik laman Facebook itu berpendirian gaya mereka adalah hak peribadi, namun imej yang dipapar boleh memburukkan imej agama.

Berikutan itu, Mapim mengesa umat Islam supaya tidak membiarkan perilaku sebegini dianggap norma biasa kerana akhlak Islam dan budaya hidup Melayu perlu dipertahankan supaya tidak menimbul fitnah kepada masyarakat.

“Selain itu, kami juga turut memohon agar pihak berkuasa agama mengambil pendekatan menasihati kedua-duanya dengan baik dan berhikmah untuk kembali menjadi insan Muslimah yang boleh dicontohi.

Jika ada perlanggaran undang-undang secara jelas dan nyata, maka ia perlu dikuatkuasakan agar memberi pengajaran kepada pesalah dan memberi isyarat kepada mayarakat awam bahawa merosak tatasusila awam tidak boleh dikompromi. -MalaysiaGazette