Dr. Asmah Razalli

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mewujudkan jawatankuasa pendidikan saluran Televisyen Pendidikan bagi mengolah sistem Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang lebih efisen, jimat serta tidak membebankan ibu bapa terutama yang bekerja dan tidak mempunyai lebihan telefon bimbit mahupun komputer riba.

Ketua Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, KPM perlu bersikap lebih empati dalam menyusun atur PdPR yang lebih mesra ibu bapa dan anak-anak secara rakaman dan siaran berulang.

Katanya, langkah itu boleh dibuat hanya menggunakan satu saluran televisyen khusus buat ibu bapa yang memiliki anak-anak bersekolah agar dapat bergilir-gilir mengikut subjek wajib setiap hari.

“Inilah masanya saluran satelit mahupun swasta memberi khidmat bakti kepada negara dengan membantu rangkaian televisyen nasional untuk menyalurkan kelas online darjah 1 hingga tingkatan 6 kepada semua pelajar di Malaysia.

“Capaian internet yang lemah di pedalaman Sabah dan Sarawak khusunya dapat menarik nafas lega jika sistem pembelajaran secara online boleh dimanfaatkan secara terus dari kaca televisyen sedia ada demi mempermudahkan urusan anak anak Malaysia menuntut ilmu ketika Covid-19 serta meringankan kos kewangan ibu bapa yang sedia terbeban,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Asmah berkata, KPM juga perlu mengambil keperluan Covid-19 mungkin akan berlarutan dan menimbang kos pendidikan anak- anak bersama tambahan pembelajaran secara online yang rata-rata masih belum boleh diaplikasi kepada semua rakyat di Malaysia terutama yang tidak berkemampuan mahupun ketinggalan dalam kemahiran teknologi.

“Jangan biarkan anak anak keciciran ilmu pendidikan. Maksimumkan segala pendekatan yang wajar,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya berasa sedih dengan rungutan dan luahan ibu bapa di Malaysia terutama mereka yang memiliki anak ramai bersekolah secara serentak mahupun golongan B40 yang kesusahan dan M40 yang bekerja keras mencari rezeki demi menampung keperluan sekolah anak-anak.

Tambah beliau, sejak PKP dilaksanakan akibat Covid-19 yang tinggi setahun lalu, ramai ibu bapa yang kehilangan pekerjaan, terbeban dengan tanggungan hutang mahupun mendapat gaji jauh lebih rendah dari sebelumnya.

Justeru katanya, pembelajaran atas talian yang terpaksa dilakukan demi memenuhi kehendak capaian silibus subjek persekolahan sebenarnya amat membebankan ibu bapa.

“Ibu bapa terpaksa membeli telefon pintar atau komputer riba dan data internet untuk setiap anak yang bersekolah kerana amat sukar bagi mereka berkongsi peralatan itu jika kelas PdPR dilakukan secara live stream.

“Pembelajaran kelas online tidak begitu mesra rakyat jika ramai ibu bapa berasa terbeban untuk menyediakan data internet dan pelbagai kemudahan streaming walaupun kerajaan Malaysia mengumumkan Penjana untuk bantuan data internet. – MalaysiaGazette