Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Lebih baik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih ketat agar PKP tidak perlu disambung setiap minggu kerana menyusahkan rakyat untuk mendapatkan sesuap nasi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, lagi lama PKP 2.0 yang longgar ini dilanjutkan, lagi lama ketidakadilan akan berlaku.

Ini kerana, penguatkuasaan PKP tidak ketat.

”Kereta berkeliaran di lebuh raya. Dengar info radio, jalan di KL sesak macam biasa setiap pagi kerana rakyat nak pergi kerja.

”Ada yang dibenarkan beroperasi cari makan dan ada yang sebaliknya,” katanya sambil menambah kluster tempat kerja menjadi penyumbang besar kepada penularan wabak.

Sekarang ada 11 kluster tempat kerja daripada 16 kluster manakala kilang dan tapak pembinaan diberi kelonggaran beroperasi.

“Memang double standard (tidak adil). Kerajaan bukan sahaja tidak konsisten tetapi nampak macam tidak tahu apa nak buat. Rakyat tidak boleh makan di restoran. Tetapi orang ramai selamba makan di gerai-gerai di pekan kecil dan kampung.

”Mudaratnya berpanjangan. Masalah tidak selesai. Masalah Muhyiddin untuk kekal lama jadi PM sahaja yang selesai,” ujarnya yang bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Najib Razak yang berpendapat PKP yang tegas untuk seketika adalah lebih baik daripada PKP separuh masak yang berpanjangan. – MalaysiaGazette