Boris Johnson. foto Agensi

LONDON – Terdapat ‘beberapa bukti varian baharu Covid-19 yang mula dikenalpasti di United Kingdom (UK) lebh berbahaya daripada virus yang mula-muka ditemui, kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

“Kami telah dimaklumkan hari ini bahawa penularannya lebih cepat, kini terdapat juga beberapa bukti bahawa varian baharu – varian yang ditemui di London dan tenggara (England) mungkin mempunyai kaitan dengan kematian yang lebih tinggi,” kata Johnson pada sidang media seperti dipetik CNBC.

Beliau menambah, semua bukti mencadangkan vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca-Oxford University, kedua-duanya kini digunakan di UK, kekal efektif terhadap kedua-dua varian baharu dan lama virus itu.

Bukti tersebut masih di peringkat awal dan kini ia dinilai oleh Kumpulan Penasihat Perjanjian Virus Baru Respitori yang memberi nasihat kepada kerajaan Britain.

Varian itu, dikenali sebagai B.1.1.7, mempunyai bilangan mutasi yang tinggi dan dikaitkan dengan jangkitan yang lebih efisien dan pantas.

Para saintis mula mengesan mutasi itu pada September lalu.

Kini ditemui di sekurang-kurang 44 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang melaporkan telah mengesan kehadirannya di 12 negeri.

Pada minggu lalu, Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit memberi amaran bahawa model lintasan varian itu di AS ‘menunjukkan pertumbuhan pantas pada awal 2021 dan akan menjadi varian yang lebih pantas pada Mac ini’.

Ketua Penasihat Sains UK, Patrick Vallance berkata, bukti awal menunjukkan terdapat peningkatan risiko untuk mereka yang dijangkiti varian baharu berbanding varian lama.

“Jika anda ambil (contoh), seorang lelaki berumur 60-an, purata bagi 1,000 orang yang dijangkiti, kira-kira 10 (orang) dijangka meninggal dunia akibat virus ini.

“Dengan varian baharu, untuk 1,000 orang dijangkiti kira-kira 13 atau 14 orang mungkin dijangka meninggal dunia,” kata Vallance.

Beliau menyifatkan data tersebut masih tidak kukuh dan menyatakan kekhuatiran tentang varian lain yang ditemui di Brazil dan Afrika Selatan.

Sebanyak 1,401 kematian dilaporkan di UK semalam dan ia merupakan kadar kematian tertinggi akibat koronavirus di Eropah yang merekodkan 96,166 kematian, menurut data Johns Hopkins University. – MalaysiaGazette