Jangkitan Covid-19 hanya menunjukkan penurunan 200 kes dengan hari ini sebanyak 21,468 kes dilaporkan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,427 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini yang mana melebihi kes positif baharu iaitu sebanyak 3,346.

Bilangan terbaharu kes sembuh itu menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadikan jumlah kumulatif adalah 141,446 kes bersamaan 77 peratus daripada keseluruhan kes.

Manakala susulan pertambahan 3,346 kes baharu pula, sejumlah 183,801 kes kumulatif yang direkodkan.

“Sebanyak 3,339 kes daripada keseluruhan kes positif baharu merupakan penularan tempatan, yang mana 2,602 dalam kalangan Warganegara, manakala 737 pula bukan warganegara.

“Kes import pula tujuh kes yang mana enam daripadanya adalah warganegara dan bakinya bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan pertambahan rekod harian tertinggi iaitu sebanyak 950 kes diikuti dengan Sabah 431 kes positif baharu.

“KL 390 kes, Johor 378 kes manakala Sarawak bertambah lagi 255 kes,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 11 kematian dilaporkan di mana 10 daripadanya dalam kalangan warganegara dan seorang pula bukan warganegara.

“Seramai 11 bilangan kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 678 kes,” tambahnya.

Beliau berkata, seramai 102 daripada 265 yang dirawat di Unit Rawatan RapiĀ  kini sedang menerima alat bantuan pernafasan.-MalaysiaGazette