Peniaga kecil antara golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP dan pandemik Covid-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya menambah baik Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Prihatin Rakyat dengan memperkenalkan jumlah bantuan kewangan yang baharu dan bukan sekadar mempercepatkan bantuan yang sedia ada.

Pengerusi Koperasi Pendidikan Swasta Malaysia Berhad, Datuk R. Rajendran berkata, rakyat sedia maklum semua peruntukan terdahulu yang tertakluk di bawah pakej Kita Prihatin akan disalurkan kepada rakyat yang layak secara berperingkat.

Namun, soalnya, apa perlunya Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sekiranya tiada sebarang peruntukan yang baharu diperkenalkan di bawah inisiatif ini.

Cepat atau lambat, rakyat tahu bayaran bantuan tersebut tetap akan diberikan namun adalah lebih rasional jika amaun atau jumlah tertentu ditambah supaya rakyat tidak bergelut sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di awal tahun 2021 ini, katanya.

Selain itu, kerajaan juga didapati tidak bertegas dalam arahan untuk melanjutkan moratorium seperti mana pengumuman moratorium pada tahun lepas dengan kelayakan kali ini dilihat lebih kepada bersasar dan bukannya secara menyeluruh.

“Perdana Menteri ketika mengumumkan inisiatif moratorium hanya menyebut tentang angka yang melibatkan mereka yang memohon dan lulus.

Sedangkan, Rajendran berkata, masih ramai dalam kalangan rakyat bergelut dengan masalah kewangan dan perlukan bantuan ini seperti mana implementasi terdahulu.

”Moratorium sepatutnya lebih jelas. Lebih baik ditetapkan secara automatik seperti dahulu untuk tempoh tiga atau enam bulan. Kerajaan tidak tegas dalam perkara ini dan sebab itulah kebanyakan bank juga seolah-olah ‘berkira’ untuk meluluskan bantuan ini. Ia tidak seharusnya diberikan secara bersasar kerana semua golongan terkesan dengan impak Covid-19 dan PKP,” ujarnya.

Malah, keputusan kerajaan untuk terus bekerjasama bersama industri telekomunikasi dengan peruntukan RM500 juta dalam pemberian data 1 Gigabit secara percuma juga dianggap tidak wajar.

Ini kerana, dakwa beliau, selain hanya menguntungkan syarikat telekomunikasi, capaian internet bagi setiap pengguna kini untuk kadar tersebut adalah normal dan boleh diakses melalui data sedia ada.

Malah, adalah lebih baik jika dana RM500 juta itu disalurkan kepada golongan peniaga kecil yang mahu berniaga serta pelajar yang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka masing-masing.

Tambah Rajendran, golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga tidak menerima sebarang peruntukan khusus dalam PERMAI sedangkan PKS adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

”Walaupun ada dinyatakan bahawa Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan ditawarkan untuk PKS dalam kawasan PKP terlibat, namun bantuan ini sebenarnya lebih diberikan kepada golongan peniaga mikro.

”Ditambah pula dengan syarat kelulusannya yang ketat, ramai PKS telah gagal menepati kriteria untuk memohon bantuan ini. GKP ini sebenarnya lebih menjurus kepada kredit untuk mikro, bukan PKS seperti dinyatakan,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Rajendran turut menggesa supaya Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO diperhalusi semula dan ditambahbaik untuk satu tempoh yang lebih panjang disusuli dengan syarat kelayakan yang tidak begitu ketat.

”Pengumuman tersebut cukup melegakan majikan namun jika hanya untuk tempoh sebulan sahaja, ia sepatutnya dinilai semula kerana jika melihat situasi peningkatan kes Covid-19 negara ketika ini tidak mungkin syarikat dapat beroperasi secara penuh, malah menanggung kerugian.

”Syarat-syarat kelayakannya juga wajar dilonggarkan kerana sebagai contoh, ia tidak adil untuk pekerja yang baharu sahaja bekerja di sesebuah syarikat tetapi tidak layak untuk menerima bantuan ini,” katanya sambil meminta kerajaan meneliti perkara-perkara yang dinyatakan bagi membantu dan meringankan beban golongan yang terlibat. – MalaysiaGazette