Kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kebenaran kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang ingin pulang semula ke kampus atau asrama tanpa perlu menjalani ujian saringan kesihatan wajar dikaji semula.

Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Firzan Hakimi berkata, saringan wajar diwajibkan kepada pelaajr IPT memandangkan pola kes harian penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

“Kerajaan perlu bertindak dengan lebih agresif terhadap status terkini mengenai mewajibkan mahasiswa yang akan pulang ke kampus untuk menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma.

“Umum telah sedia maklum berkaitan kesan ketidakcekapan kerajaan apabila telah didapati seramai 36 pelajar yang juga merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang ingin pulang ke asrama telah dikesan positif Covid-19 di Sabah beberapa hari yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Firzan Hakimi.

Tambah Firzan, ia penting supaya mahasiswa mempunyai ruang secukupnya untuk membuat persediaan sebelum mereka pulang ke kampus pengajian masing-masing.

“Secara tidak langsung, langkah ini juga dapat membendung risiko penularan wabak Covid-19 di institusi pengajian seluruh negara daripada individu yang dijangkiti wabak tersebut.

“Saya berharap kerajaan menelusuri isu ini dengan lebih serius serta tegas supaya ada penglibatan pelbagai pandangan dengan berasaskan data dan analisis yang realistik daripada seluruh  universiti bersama pakar-pakar kesihatan di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette