ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Orang ramai diminta berhati-hati apabila melakukan urusan dalam talian.

Peringatan tersebut dilakukan selepas polis daerah Pataling Jaya mengesan kewujudan sindiket penipuan jenayah siber berikutan lambakan laporan yang diterima.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota sindiket berkenaan menyamar sebagai rakan atau saudara untuk meminjam wang.

Katanya, mereka memberitahu nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu kerana nombor asal telah hilang.

“Apa yang menarik lagi, suspek berjaya memperdaya mangsa dengan meniru suara sebenar atau mirip suara rakan ataupun ahli keluarga mangsa dan juga dikesan menggunakan aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar mangsa dan dari situ mangsa bertambah yakin bahawa itu adalah rakannya yang dalam kesusahan dan ingin meminjam wang.

“Mangsa diberi nombor akaun bukan milik rakan atau saudara mangsa sebenar untuk memasukkan wang dan tanpa menyemak terlebih dahulu mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semenjak Januari 2020 hingga sekarang, kata Nik Ezanee, sebanyak 78 laporan polis diterima yang mengakibatkan kerugian sehingga RM250,000.

Tambah Nik Ezanee, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menghubungi rakan atau ahli keluargan dengan menggunakanĀ  nombor telefon asal mereka.

“Nasihat polis supaya jangan mudah terpedaya dengan mana-mana panggilan yang tidak dikenali dan sila semak dulu kesahihan maklumat yang diperolehi sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh merugikan kita .

“Modus operandi ini tidak mensasarkan mana-mana golongan tetapi penjenayah sentiasa berusaha memperdaya mereka yang leka dengan taktik-taktik yang baharu,” kata Nik Ezanee. – MalaysiaGazette