Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pengedar dadah menggunakan lori barangan yang masih bebas merentas daerah dan negeri untuk menghantar dadah.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@Abd. Rasid berkata, sindiket dadah telah mengubah modus operandi mereka dengan menyasarkan lori yang menghantar barang-barang keperluan.

Selain itu, disebabkan penutupan pusat hiburan malam pada tempoh PKP, pengedar juga mengadakan pesta liar dan pesta dadah dalam kondominium mewah untuk menjual dadah.

Razarudin memberitahu Sinchew Daily, platform beli-belah dalam talian juga disalah guna sebagai tempat jualan dadah.

Katanya, pada April dan Mei tahun lalu, sebanyak 17 orang ditahan dan 125 botol minuman dan minyak pati yang mengandungi dadah bernilai RM58,400 telah dirampas.

Menurutnya, disebabkan PKP, polis percaya penjenayah akan terus menggunakan platform elektronik, perkhidmatan penghantaran ekspres dan penghantaran makanan untuk mengedarkan dadah.

Beliau bagaimanapun memberitahu, jumlah tangkapan membabitkan pengedaran, pengambilan dan pemilikan dadah pada tahun lalu telah menurun sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, sebanyak 146,045 orang ditahan berhubung kes dadah pada tahun lalu berbanding 174,318 orang pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, penurunan itu mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PKP di seluruh negara

Katanya, jenis dadah yang paling banyak dirampas polis pada tahun lepas adalah daun ketum dan air ketum. – MalaysiaGazette