Kebersihan gigi dan mulut perlu diberi perhatian. Gambar hiasan

PENGETAHUAN tentang penjagaan kesihatan gigi dan mulut amatlah penting kepada kita kerana anggota mulut merupakan organ pertama yang memproses makanan sebelum diproses ke dalam perut dan usus. Setiap hari apabila kita makan, terdapat makanan yang terselit dibahagian gigi dan mulut. Apabila penjagaan mulut tidak dijaga dan diberus dengan baik, makanan tersebut lama kelamaan boleh menjadi keras dan menjadi karang gigi. Ada juga makanan yang terselit dicelah gusi dan menyebabkan gusi bengkak dan berdarah serta menghasilkan bau mulut yang tidak menyenangkan.

Keadaan semakin runcing terutamanya semasa berlaku wabak Covid-19 yang melanda dunia. Kebanyakan daripada kita berada di rumah bersama dengan anak-anak dan keluarga. Kesibukan menguruskan pekerjaan secara atas talian serta pembelajaran anak anak juga secara talian kadang kadang menyebabkan kita terlupa dan terleka menjaga kebersihan mulut dan gigi. Ada juga yang berpendapat, jika tidak perlu keluar rumah dan berjumpa dengan sesiapa, apatah lagi memakai pelitup muka setiap masa, maka tidak perlulah menggosok gigi kerana tiada siapa yang tahu.

Ramai orang mengabaikan kesihatan mulut kerana bagi kebanyakan orang beranggapan kesihatan mulut dan gigi tidak sepenting kesihatan tubuh badan yang lain. Kebanyakan orang hanya akan berjumpa dengan doktor gigi apabila gigi terasa sakit dan tidak dapat tidur. Sedangkan kita perlu berjumpa dengan doktor gigi sekurang kurangnya 6 bulan atau setahun sekali untuk memeriksa status kesihatan gigi kita.

The World Health Organization (WHO) menyatakan kesihatan itu meliputi kesihatan dari segi fizikal, mental dan sosial serta bukan sahaja tidak mempunyai penyakit. Kesihatan mulut memainkan peranan penting dalam kesihatan keseluruhan badan manusia. Banyak penyakit sistemik ada kaitan dengan kesihatan mulut seperti penyakit jantung, pneumonia dan diabetes. Kajian juga ada menunjukkan penyakit gusi juga boleh ada kaitan dengan kelahiran anak pramatang dan kurang berat badan. Ini berlaku apabila kuman yang terdapat didalam mulut membiak, mengeluarkan toksin dan menghasilkan keradangan yang boleh merebak keseluruh sistem dalam tubuh.

Melalui sumber Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2013, menyatakan bahawa 90% orang dewasa di Malaysia mempunyai gigi berlubang atau dikenali sebagai karies manakala 94% dalam populasi Malaysia mempunyai penyakit gusi. Manakala kanser mulut merupakan 10 kanser utama didunia dan peratus meningkat di Selatan Asia dan meningkat dengan pertambahan penggunaan rokok dan minuman keras.

Tahukah anda bahawa terdapat 600 spesis bakteria di dalam plak gigi. Mulut dan gigi merupakan organ pertama yang digunakan untuk makan dan minum. Setiap makanan akan diproses didalam mulut dengan bantuan gigi, lidah, lelangit, mulut serta air liur sebelum makanan diproses melalui peristalsis ke perut dan kemudian ke usus dan ke seluruh badan yang lain. Banyak penyakit dalam badan menyebabkan risiko kepada penyakit di dalam mulut contohnya penyakit kencing manis meransang penyakit gusi dan karies. Faktor faktor seperti pemakanan tidak sihat, menghisap rokok dan meminum arak merupakan faktor risiko yang sama dengan penyakit lain seperti kanser,  kencing manis dan penyakit respirasi. Jangkitan kuman di dalam mulut juga ada kaitan dengan jangkitan kuman di jantung dan otak serta organ lain.

Islam amat menitikberatkan kebersihan termasuklah kebersihan peribadi. Nabi Muhammad SAW amat menitiberatkan amalan memberus gigi setiap kali sebelum solat supaya kita sentiasa dalam keadaan bersih semasa beribadat yang juga dikenali sebagai amalan bersiwak. Dalam konteks hari ini, bersiwak disamakan dengan mengosok gigi menggunakan alat yang bersifat kesat seperti berus gigi. Kaedah mengosok gigi juga perlulah mengikut tatacara yang betul dengan disunatkan untuk berniat serta menggunakan tangan kanan. Mengosok gigi tidak terhad kepada bahagian gigi sahaja tetapi juga meliputi gusi dan lidah. Namun begitu, jika hanya menggunakan berus gigi sahaja, terdapat bahagian-bahagian yang tidak dapat dicapai terutamanya antara celah-celah gigi. Di sinilah kepentingan menggunakan flos pergigian bagi tujuan untuk menanggalkan sisa makanan yang tidak dapat dibersihkan dengan berus gigi biasa.

Selain itu, penggunaan ubat kumur yang sesuai dengan cara berkala dapat membantu membunuh kuman yang ada didalam mulut. Ini seterusnya dapat mencegah penyakit gusi dan mengelakkan nafas dari berbau. Bagi kanak-kanak, adalah lebih sesuai menggunakan ubat kumur yang mempunyai fluorida di bawah pengawasan orang dewasa, manakala bagi orang dewasa boleh menggunakan ubat kumur yang mengandungi povidone-iodin. Kedua-dua bahan ini telah terbukti secara klinikal dapat membunuh bakteria di mulut, mengurangkan kerosakan gigi, mengurangkan plak dan menjadikan mulut dan gusi lebih sihat.

Adalah diharapkan bahawa masyarakat mengambil berat penjagaan gigi sebagaimana mereka mengambil berat kesihatan diri sendiri. Walaupun dimusim pandemik ini, rawatan pergigian masih boleh didapati di klinik kerajaan mahupun klinik swasta. Namun apa yang utama adalah pencegahan awal bagi mengelakkan kehilangan gigi kekal dan penyakit didalam mulut bak kata pepatah sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia dan

Dr Natasya Abdullah
Pensyarah Perubatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia