Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Satu sidang media Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berhubung pengurusan darurat dibatalkan, hari ini.

Ia ekoran Mohd Zuki memaklumkan beliau adalah kontak rapat kepada seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 pada 22 Januari lalu.

“Dimaklumkan saya kini menjalani kuarantin kendiri (self quarantine) di kediaman saya sehingga 31 Januari 2021 berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Ini berikutan salah seorang kontak rapat saya telah didapati positif Covid-19 pada 22 Januari 2021,” katanya hari ini.

Mohd Zuki berkata, tempoh kuarantin beliau tidak akan mengganggu urusan pentadbiran Perkhidmatan Awam.

Ini kerana beliau akan terus melaksanakan tugasnya dari rumah bagi mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau.

Mohd Zuki hari ini dijadualkan mengadakan sidang media Pengurusan Darurat disebabkan pelaksanaan Proklamasi Darurat yang dilaksaant oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda memberi perkenan pelaksanaan tempoh darurat itu sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – MalaysiaGazette