Suasana suram tanpa pengunjung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Keramat Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 25 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini kerajaan mengumumkan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 800,000 Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) sehingga RM1,000.

Bantuan tambahan untuk PKS ini merupakan inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Ternyata, bantuan ini dianggap satu harapan dan talian hayat untuk para PKS, bagi meneruskan perniagaan dalam waktu pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pemilik kedai membaiki komputer, Mohd Adnan Faisal, 25, sangat bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terhadap golongan peniaga yang tersepit pada waktu ini.

Mengusahakan kedainya bersama seorang lagi rakan niaga, Mohd Adnan tidak menyangka selepas menerima RM3,000 daripada GKP sebelum ini, kerajaan masih mahu terus membantu kumpulan itu agar dapat terus bernafas.

Jika sebelum ini ujarnya dana daripada GKP digunakannya sebagai modal untuk kedainya berpindah lokasi dari Cheras ke Keramat Mall, kini beliau merancang untuk menggunakan bantuan One-Off (sekaligus) untuk modal menyediakan bahan alat ganti.

Mohd Adnan Faisal ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette mengenai bantuan serta kemudahan pinjaman yang diperolehi di Keramat Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 25 JANUARI 2021.

Jelasnya, bidang Teknologi Maklumat (IT) khususnya khidmat membaiki komputer kini semakin mendapat tempat ekoran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sebelum ini saya dan rakan perniagaan masing-masing terima GKP RM3,000 seorang memang banyak membantu. Masa itu pun kami baru pindah kedai dari Cheras ke Keramat Mall.

“Sekarang ini bila diberitahu nak beri RM1,000, saya rasa tambahan untuk kami gunakan modal dalam industri IT yang besar jumlah keperluannya.

“Semenjak mulanya sesi persekolahan dalam talian memang banyak permintaan untuk baiki komputer tetapi cabarannya adalah kurang bekalan untuk barang alat ganti.

”Sebab tiba-tiba permintaan meningkat drastik. Kalau permintaan tinggi tapi bekalan alat ganti tiada pun tidak guna juga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan GKP PERMAI melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

Sementera itu, Mohd Nazmi Jamil, 29, yang menjual ayam goreng turut mengucapkan penghargaan dan  berterima kasih kepada kerajaan kerana terus membantu golongan peniaga kecil sepertinya.

Peniaga, Mohd Nazmi Jamil 

Beliau yakin PKS seluruh negara sudah tentu terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda negara setahun ini.

“Untuk bantuan baharu ini sebagai peniaga kecil yang terkesan dengan Covid-19 ini, kami rasa ini satu peluang dan juga harapan baharu untuk kami untuk teruskan perniagaan.

“Bukan kami sahaja semua peniaga terkesan dengan apa yang berlaku sekarang PKP juga, jadi dengan bantuan sebegini boleh tarik nafas lagilah, jadi bolehlah kami teruskan perniagaan.

“Sekarang pun sudah ramai orang berniaga, peniaga yang sedia ada sumber pendapatan berkurang, jadi terima kasih kerajaan,” kata beliau.

Berlainan pula dengan pengusaha kedai bakeri, Ayu Kasto, 50.

Pengusaha Kedai Bakeri, Ayu Kasto.

Sebelum ini beliau tidak tahu tentang kewujudan GKP khusus untuk membantu PKS seperti dirinya.

Mengalu-alukan bantuan seumpama itu, Ayu memberitahu, beliau akan mencuba nasib untuk mengemukakan permohonan.

Tambahnya, keadaan perniagaan yang diusahakannya kini semakin tenat apabila beberapa bulan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk dijadikan modal membeli barang mentah dan membayar upah pekerja.

“Dengan keadan begini, kalau diteruskan PKP memang saya rasa memerlukanlah bantuan GKP itu. Sebelum ini memang saya tambah guna simpanan sendiri untuk modal berniaga, untuk terus berniaga.

“Tetapi kalau sudah seperti ini memang simpanan akan habislah kan. Jadi memang perlulah bantuan daripada kerajaan itu. Sebab kena bayar pekerja lagi, beli barang mentah lagi,” kata Ayu.

Ujarnya lagi, semenjak PKP 2.0 beliau sama sekali tidak menerima pelanggan terus ke premisnya, sebaliknya tempahan online menjadi satu kekangan untuknya kerana terpaksa membayar upah penghantar pula.

“Tengoklah sekarang tiada pelanggan yang datang terus ke kedai, kalau jual online pula mahu upah penghantar lagi kan. Pendapatan daripada PKP pertama dan sekarang memang terjejas teruk,” kata Ayu lagi.

Beliau teruja untuk membuat permohonan GKP ini dengan segera demi memastikan kelangsungan perniagaan kedai bakerinya.- MalaysiaGazette