Wakil Spritzer menyerahkan sumbangan air minuman kepada mangsa banjir di Johor.

KUALA LUMPUR – Spritzer Malaysia mengedar air mineral dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Sejak 7 Januari lalu, Spritzer telah menghulurkan bantuan berbentuk air mineral di kawasan terjejas banjir di Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Sehingga kini, lebih daripada 25,000 botol air mineral telah diedarkan dan lebih banyak akan disumbangkan dalam usaha yang berterusan ini.

Spritzer dalam kenyataannya berkata, dengan sokongan penuh subsidiari dan pengedar Spritzer, syarikat ini dapat memberikan bantuan di seluruh negara, termasuk kawasan yang terjejas akibat banjir.

Syarikat mempunyai sejarah yang panjang dalam menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan berharap bantuan terbaru ini akan membantu mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir ketika pandemik Covid-19 yang sudah cukup menjejaskan ramai orang.

”Air yang bersih dan selamat untuk diminum adalah penting untuk mangsa-mangsa banjir kerana ia berperanan penting dari mengelakkan penyakit dan pada masa sama, mengekalkan tahap hidrasi mereka,” kata Spritzer.

Spritzer sentiasa percaya kepada konsep menyumbang kembali kepada masyarakat dan syarikat sentiasa bersedia untuk menyediakan air yang bersih dan selamat diminum memandangkan apabila berlakunya situasi banjir, sumber air tempatan akan tercemar dan tidak selamat untuk digunakan, malah untuk tujuan membersihkan badan. – MalaysiaGazette