Suasana suram tanpa pengunjung di Keramat Mall, Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak. foto AFIQ HAMBALI, 25 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan sama ada kerajaan akan  memperketat atau melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya ditentukan selepas Kementerian Kesihatan membuat penilaian risiko pandemik Covid-19.

Keputusan yang akan dilaksanakan selepas PKP berakhir 4 Februari ini juga ditentukan selepas KKM mengadakan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak serta keputusan oleh Sidang Majlis Keselamatan Negara.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, ada pihak mendakwa kerajaan akan melaksanakan total lockdown selepas PKP tamat dan penyebaran berita dengan tanda pagar #Malaysialockdown telah menimbulkan kebimbanga orang ramai sehingga ada yang bertindak membuat pembelian panik.

“Semalam Ketua Pengarah Kesihatan membayangkan bahawa pada 4 Februari nanti, besar kemungkinan PKP Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan semula.

“Pengumuman tersebut disambut dengan pelbagai reaksi denga ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju,” katanya.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, susulan daripada itu ada yang mencadangkan supaya total lockdown diperkenalkan seperti PKP pertama dahulu dengan menutup semua aktiviti perniagaan dan duduk di rumah.

Namun, katanya, ada yang tidak bersetuju khususnya para peniaga mikro yang akan terkesan. Mereka mahu sektor perniagaan dibuka untuk mencari rezeki demi kelangsungan kehidupan seharian mereka.

Menurut beliau, dalam membuat sebarang keputusan, kerajaan sentiasa menimbang antara kesan kesihatan dan ekonomi terhadap rakyat dan negara.

Tindakan penutupan penuh terhadap sektor ekonomi akan memberi kesan termasuk:

  • 2.8juta rakyat berisiko hilang pekerjaan
  • 2.5 juta pekerja terjejas pendapatan dan sukar meneruskan
    kelangsungan hidup
  • Kehilangan pendapatan golongan B40 dalam tempoh sebulan
    dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 satu
    keluarga

Ismail Sabri berkata, menurut laporan Sururhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020 hingga Oktober 2020 sebanyak 13,445 syarikat telah ditutup operasi.

“Ini bermakna ramai pekerja telah hilang pekerjaan

“Ini antara sebahagian kesan yang terpaksa kerajaan pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Semalam, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP tidak akan disambung selepas 4 Februari ini kerana ia memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan negara.

Menurut beliau, sebaliknya usaha membendung penularan wabak Covid-19 akan diteruskan menerusi PKPB untuk tempoh tiga bulan bagi menurunkan jumlah kes kepada dua angka pada Mei depan.