Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi (kiri) beramah mesra dengan Koperal Siti Azizon Mohamad serta ibu dan anak-anaknya sewaktu melawat mereka di Apartment Tasik Heights, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju memberi sumbangan peribadi untuk membayar rumah sewa sebanyak RM1,000 sebulan kepada Koperal Siti Azizon Mohamad selepas tersentuh dengan kesempitan hidup anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi berkata, bayaran sewa itu akan dibayar sehingga rumah ibu tunggal itu yang terletak di Machang di Kelantan siap dengan kos pembaikan berjumlah RM15,000 ditanggung oleh Kementerian Pertahanan.

Jelas beliau, Ismail Sabri juga akan memberi bantuan keperluan makanan kepada ibu tunggal yang menyara 11 ahli keluarganya mengikut keperluan dari masa ke semasa.

“Tentera Darat Malaysia (TDM) kini dalam proses membaiki pulih kediaman Siti Azizon di Machang iaitu rumah sendiri yang dibeli sebagai kakitangan kerajaan. Rumah yang sudah lama tidak diduduki dan kosong, usang serta ada bahagian yang pecah itu dijangka siap pada penghujung Mac ini.

“Jadi YB Menteri akan menanggung sewa rumah Siti Azizon sehingga beliau berpindah ke Kelantan,” katanya pada sidang media hari ini.

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi bercakap kepada media selepas melakukan lawatan kebajikan ke atas anggota tentera darat, Koperal Siti Azizon Mohamad yang merupakan ibu tunggal di Apartment Tasik Heights, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2021.

Sebelum ini, kisah keperitan hidup Siti Azizon yang memiliki empat anak termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kini terpaksa menjadi ketua keluarga selepas bercerai dengan suami sejak enam tahun lalu mendapat perhatian dan tular selepas disiarkan MalaysiaGazette pada 14 Januari lalu.

Anggota tentera itu turut membesar dan menyara lima anak saudaranya sejak kematian arwah adiknya sejak Disember 2019.

Siti Azizon dan dan 11 ahli keluarganya menyewa di rumah tiga bilik dengan bayaran RM1,000 sebulan bersama ibu dan adik bongsunya yang tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan hanya bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Mengulas lanjut, Nazari menambah, TDM juga sedang menguruskan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dikenali Tabung Sejambak Kasih yang memberi bantuan kepada anggota sebanyak sebanyak RM500 secara one-off.

Kata beliau, ketika ini, TDM turut mengendalikan Tabung Zakat ATM iaitu bantuan kewangan secara RM600 kepada anggota yang memerlukan.

“Sebelum kisah Siti Azizon tular, TDM telah menyokong pangkat koperal berkuatkuasa pada 1 November lalu sebelum beliau menamatkan perkhidmatan pada Julai nanti.

“Apa yang berlaku kepada beliau, apa yang kami tidak tahu dan berpunca daripada kematian arwah adiknya. Beliau anak sulung telah ambil tanggungjawab untuk menanggung anak, anak saudara, ibu dan adik bongsunya.

“Jadi, bila dapat tahu kami terus bertindak. TDM sentiasa mengambil berat akan aspek kebajikan warganya sejajar dengan Tonggak Ketiga kepada Perintah Ulung PTD (Panglima Tentera Darat) iaitu pelestarian kesejahteraan warga yang menekankan kebajikan setiap warga ATM,” katanya.

Anggota tentera, Koperal Siti Azizon Mohamad sebak ketika ditemubual di Apartment Tasik Heights, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2021.

Dalam masa yang sama Nazari turut menasihati warga ATM yang memiliki masalah hidup jangan menyimpan untuk diri sendiri.

Jelas beliau, dalam pasukan terdapat ketua dan mereka perlu mengadu masalah yang dihadapi walaupun bersifat peribadi.

“Kadang-kadang perkara yang melibatkan peribadi kita tidak tahu. Macam Siti Azizon kita tahu anak beliau empat orang dan tidak tahu jaga anak saudara lima orang. Pada kita dan tahu beliau ibu tunggal, gaji beliau mencukupi untuk anak empat orang itu.

“Apabila ada masalah kekeluargaan macam ini, beliau telah menanggung lebih daripada jumlah gaji itu dan beliau pun tidak bercerita.

“Sekiranya ada di kalangan warga ATM yang menghadapi masalah sedemikian, jangan simpan untuk diri sendiri. Kita ada pegawai, pegawai pemerintah dan komandan, jadi kita akan bantu dan tidak akan biar warga kita hadapi masalah,” katanya.

Sebelum ini, Siti Azizon yang kelahiran Kelantan itu mengakui, kehidupannya kini hanya bergantung dengan pendapatan bersihnya sebanyak RM1,600 sebagai anggota tentera dan jualan nasi lemak dan goreng pisang oleh ibunya, Azina Ab Rahman, 58, dengan anggaran untung RM300 sebulan.

Dia perlu berbelanja dengan baki gaji sebanyak RM600 untuk 11 ahli keluarga yang perlu diberi makanan dengan memberi keutamaan membeli lampin pakai buang dan susu anak saudaranya serta beras sebanyak 20 kilogram sebulan selain peruntukan bagi persekolahan anak-anak.

“Saya masak satu lauk sahaja sehari, kalau menu daging ayam, hanya ayam sahaja dan tiada menu sayur. Kalau telur, hanya telur sahaja.

“Kadang-kadang kalau tiada wang untuk makan, saya masak ikan bilis sahaja. Atau pun buat nasi bubur dan beli sayur kangkung untuk jadi lauk,” katanya yang turut mengambil upah membasuh pinggan di restoran selepas waktu kerja. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kadangkala kami hanya makan nasi bubur, lauk kangkung – Siti Azizon