Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pemain industri agrikomoditi diingatkan supaya memastikan pelaksanaan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan ladang dan kilang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media semalam berkaitan keputusan kerajaan Sabah yang tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari.

Katanya, prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet serta 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam dan kementerian sememangnya mengalu-alukan langkah kerajaan negeri itu.

“Sehubungan itu, majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Antaranya seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang serta memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dipatuhi pada setiap masa.

“Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin lagi, para majikan perlu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu dalam memperkukuh saringan kesihatan pekerja.

Tambah beliau, pematuhan terhadap Akta 446 adalah amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor agrikomoditi perlulah merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK dari semasa ke semasa.

“SOP sektor agrikomoditi yang telah dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari 2021 boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0,” ujarnya.

KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh majikan akan dapat menurunkan bilangan kes Covid-19, sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera. – MalaysiaGazette